Kerajaan sedia dedah laporan RCI Tabung Haji - PM

LocalPolitics
23 Jul 2026 • 1:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan sedia dedah laporan RCI Tabung Haji - PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan meneliti keputusan untuk menerbitkan laporan itu bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

"Saya akan meneliti dengan Ketua Setiausaha Negara sama ada proses ini harus dirujuk ke Jemaah Menteri terlebih dahulu.

"Kalau tidak perlu, saya akan terbitkan hari ini. Jika perlu, saya tunggu hari Rabu (depan) kerana rakyat harus tahu," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan forum Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026, di sini, hari ini.

Anwar berkata, keputusan untuk menerbitkan laporan itu mengambil kira kedudukan Tabung Haji yang telah bertapak baik dalam proses pemulihan ketika ini dan rakyat berhak untuk mengetahui kandungan laporan tersebut.

Beliau mendedahkan sebelum ini Jemaah Menteri telahpun memutuskan untuk menerbitkan laporan berkenaan namun memandangkan pada ketika itu TH masih dalam proses pemulihan, dibimbangi keputusan itu akan membimbangkan penyimpan.

"Kita letak Tan Sri Rashid Hussain (Pengerusi TH) dan pasukan baharu untuk membersihkan (perkara yang tidak kena) berdasarkan pandangan dan teguran laporan suruhanjaya. Kalau kita lakukan terlalu awal, mungkin menimbulkan keresahan daripada pencarum dan penyimpan.

"Sekarang, saya rasa TH telah bertapak baik dan saya tidak ada keberatan sama sekali untuk menerbitkan atau menyebarkan, sebab laporan ini ada hak rakyat untuk mengetahui," kata beliau.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dilaporkan berkata, keputusan berhubung cadangan mendedahkan laporan akhir itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan terdapat kekeliruan dan dakwaan penjualan aset strategik TH oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Sementara itu, Anwar berkata, Rashid dan pasukannya telah melakukan tugas cemerlang, menguruskan TH dengan baik, menjadinya institusi yang telus dan diaudit dengan baik.

"Apabila perkara ini (laporan) dibentangkan kepada kami, kami telah memutuskan untuk menerbitkannya, tetapi kemudian kami mengambil pendekatan berhati-hati kerana ada ketikanya terdapat keperluan untuk mengubah pengurusan dan membetulkan beberapa perkara yang tidak kena.

"Dan saya fikir sudah tentunya ada berlaku pelanggaran peraturan dan saya tidak boleh mengatakan (ia) rasuah, tetapi terdapat beberapa penyalahgunaan dan kebimbangan kami pada masa itu adalah untuk menguruskan simpanan TH," kata beliau. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved