AKPS selamatkan hasil negara RM322.74 juta, lonjak empat kali ganda

LocalPolitics
26 Oct 2026 • 2:19 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

AKPS selamatkan hasil negara RM322.74 juta, lonjak empat kali ganda

SHAH ALAM, 26 OKT: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berjaya menyelamatkan hasil negara bernilai RM322.74 juta daripada ketirisan sehingga bulan ini, meningkat empat kali ganda berbanding tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pencapaian itu membuktikan keupayaan AKPS melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan meskipun agensi berkenaan masih beroperasi pada tahap kekuatan awal.

Menurutnya, kejayaan tersebut turut membuktikan AKPS bukan sekadar instrumen penguatkuasaan undang-undang, malah berperanan sebagai benteng fiskal negara bagi memastikan hasil kerajaan dilindungi daripada ketirisan.

"Amanah besar AKPS adalah memastikan hasil negara terpelihara daripada sebarang bentuk ketirisan kerana aktiviti penyeludupan barangan berduti, komoditi terlarang, flora, fauna mahupun barangan bersubsidi merugikan rakyat dan negara secara langsung.

"Warga AKPS hendaklah melipatgandakan usaha penguatkuasaan secara tegas, teliti dan agresif bagi membanteras segala ketirisan di sempadan demi mengembalikan setiap sen hasil negara kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman, sempena Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-2 AKPS di Sepang, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan pendekatan pengoperasian berperingkat dilaksanakan AKPS dengan mengambil kira tahap ancaman semasa serta kesiapsiagaan sumber manusia dan logistik.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pengukuhan keupayaan agensi itu turut dipacu pelaksanaan Skim Perkhidmatan Baharu AKPS pada 1 Julai lalu serta latihan terhadap 408 pegawai perintis Penguasa Sempadan dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Beliau berkata, AKPS kini turut berperanan penting dalam memperkukuh keselamatan pintu masuk strategik negara, termasuk menerajui pelaksanaan langkah keselamatan negara dan sempadan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, usaha itu merangkumi pelaksanaan saringan bersasar berasaskan risiko, pengukuhan unit anjing pengesan (K9) serta penyelarasan risikan antara agensi bagi meningkatkan keberkesanan pengesanan dan pencegahan ancaman.

Beliau menegaskan, warga AKPS perlu terus memperkukuh integriti, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan disiplin dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan sempadan negara.

"KDN tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku atau rasuah yang mencemarkan panji keselamatan negara," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved