Rampasan RM322.74 juta bukti keberkesanan AKPS

LocalPolitics
26 Oct 2026 • 12:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rampasan RM322.74 juta bukti keberkesanan AKPS

SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menyelamatkan hasil negara daripada ketirisan menerusi rampasan bernilai RM322.74 juta sehingga Oktober tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah rampasan itu meningkat empat kali ganda berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan pengoperasian AKPS walaupun agensi berkenaan masih beroperasi pada kadar kekuatan awal.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa AKPS bukan sekadar instrumen penguatkuasaan undang-undang, tetapi adalah Benteng Fiskal Negara,” katanya sempena Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Kedua AKPS di sini, hari ini.

Teks bacaan Saifuddin dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr. Awang Alik Jeman.

Katanya, penubuhan AKPS dua tahun lalu berteraskan wawasan kerajaan untuk meruntuhkan amalan kerja secara silo serta membina sistem kawalan sempadan yang moden, bersepadu dan berintegriti di bawah satu rantaian arahan.

Saifuddin berkata, keberkesanan operasi agensi itu dinilai menerusi pendekatan berfasa dengan mengambil kira tahap ancaman semasa serta kesediaan sumber manusia dan logistik.

Jelasnya lagi, antara perkembangan penting diraih AKPS adalah penguatkuasaan Skim Perkhidmatan Baharu AKPS pada 1 Julai lalu selain kejayaan melatih 408 pegawai perintis Penguasa Sempadan dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Beliau berkata, AKPS turut memperkukuh kesiapsiagaan kawalan di pintu masuk strategik negara, termasuk di Laluan Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, AKPS diberi tanggungjawab sebagai agensi peneraju bagi teras keselamatan negara dan sempadan di bawah Pelan Tindakan Penambahbaikan dan Mitigasi Keselamatan susulan insiden penahanan seorang juruterbang di Jakarta pada 28 Julai lalu. – UTUSAN

The post Rampasan RM322.74 juta bukti keberkesanan AKPS appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved