

JOHOR BAHRU – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menyita sebanyak 637 tan biji koko bernilai RM11.88 juta yang cuba dibawa masuk ke negara ini menerusi Pelabuhan Pasir Gudang, di sini, Sabtu lalu.
Sitaan itu dilakukan selepas pegawai penguat kuasa AKPS menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kontena kira-kira pukul 3.50 petang pada 3 Oktober lalu.
Hasil pemeriksaan mendapati kontena berkenaan mengandungi 637,000 kilogram biji koko atau 9,100 guni yang berasal dari Uganda.
AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, barangan tersebut dipercayai dibawa masuk menggunakan dokumen yang tidak lengkap dan mencurigakan.
“Jumlah anggaran keseluruhan barangan tersebut adalah sekitar RM11,886,444.72.
“Oleh itu, semua barangan dagangan ini telah ditahan untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan sama, perbuatan atau cubaan mengisytiharkan maklumat yang bercanggah di pintu masuk negara merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya pula, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM75,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.-KOSMO! ONLINE
The post AKPS sita 637 tan biji koko bernilai RM11.8 juta appeared first on Kosmo Online.






