AKPS sita 637 tan biji koko bernilai RM11.8 juta dari Uganda

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 10:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: AKPS sita 637 tan biji koko bernilai RM11.8 juta dari Uganda
AKPS menyita 637 tan biji koko bernilai RM11.88 juta yang dibawa dari Uganda di Pelabuhan Pasir Gudang.

PASIR GUDANG - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita 637 tan biji koko bernilai RM11.88 juta selepas mengesan cubaan membawa masuk komoditi itu dari Uganda di Pelabuhan Pasir Gudang, Sabtu lalu.

Dalam kenyataannya, AKPS memaklumkan pemeriksaan terhadap sebuah kontena dilakukan pegawai penguat kuasa agensi itu pada kira-kira jam 3.50 petang sebelum menemukan biji koko berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 9,100 guni biji koko yang dibawa dari Uganda ditemukan dalam kontena terbabit.

“Barangan ini didapati dibawa masuk dengan dokumen yang tidak lengkap dan mencurigakan.

“Oleh itu, semua barangan dagangan ini telah ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

AKPS berkata, perbuatan atau cubaan mengisytiharkan maklumat yang bercanggah di pintu masuk negara adalah kesalahan mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Menurutnya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM75,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“AKPS memandang serius perkara ini dan sentiasa menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke negara ini,” katanya.

Jelasnya, tindakan penguatkuasaan turut memastikan semua pihak mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved