liza06/11/2026 - 12:57 Gambar Urus Setia Penerangan Darul Iman Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 6 Nov – Masalah air hujan yang sukar dilepaskan ke sungai ketika fenomena air pasang besar menjadi antara isu utama yang bakal ditangani menerusi projek pembinaan sistem kawalan banjir bernilai RM15 juta di Sungai Takir, Kuala Nerus.
Projek itu akan menggunakan gabungan rumah pam dan pintu air pasang surut bagi membolehkan lebihan air dikeluarkan dari kawasan tadahan walaupun paras air sungai meningkat, sekali gus mengurangkan risiko limpahan ke kawasan penempatan.
Inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penduduk yang tinggal di kawasan tadahan seluas hampir 200 hektar, terutama mereka yang berdepan risiko banjir ketika Monsun Timur Laut (MTL).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengagnu, Datuk Hanafiah Mat berkata, projek berkenaan menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
Kebergantungan kepada aliran graviti jadi kekangan
Menurutnya, peningkatan paras air Sungai Terengganu ketika hujan lebat dan air pasang besar menyebabkan air dari Sungai Takir tidak dapat dilepaskan dengan mudah melalui aliran graviti.
“Apabila keadaan itu berlaku serentak, lebihan air dalam kawasan tadahan berisiko melimpah ke kawasan perumahan dan kampung berhampiran.
“Antara lokasi yang dikenal pasti terdedah kepada keadaan berkenaan ialah Taman Lembah Harapan, Taman Tengku Ismail, Taman Permint Perdana, Kampung Hulu Takir dan Kampung Seberang Takir,” katanya.
Pam berkapasiti tinggi bantu keluarkan lebihan air
Bagi mengatasi kekangan itu, projek berkenaan akan dilengkapi sistem pam berkapasiti tinggi yang berfungsi mengeluarkan air dari kawasan tadahan ketika pintu air ditutup untuk menghalang kemasukan air pasang.
Sistem berkenaan turut menggunakan teknologi Sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA) bagi membolehkan operasi pam dan pintu air dipantau serta dikawal secara automatik.
Penyediaan bekalan elektrik dan infrastruktur sokongan juga termasuk dalam skop pembangunan bagi memastikan keseluruhan kemudahan dapat berfungsi seperti dirancang.
Hanafiah berkata, penggunaan sistem berkenaan dijangka mempercepatkan pelepasan lebihan air, sekali gus mengurangkan risiko banjir serta tempoh air bertakung di kawasan terlibat.
Selain melindungi kediaman dan harta benda, langkah itu turut bertujuan mengurangkan kesan banjir terhadap infrastruktur awam dan kehidupan masyarakat setempat.
Kerja-kerja awalan projek dijangka bermula pada 2027 dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu.
Hanafiah turut menyifatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan JPS sebagai penting bagi memastikan pelaksanaan projek tebatan banjir itu berjalan lancar dan mencapai matlamatnya. - DagangNews.com






