Projek tebatan banjir Sungai Rampayan dipercepat

11 Nov 2026 • 2:54 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Projek tebatan banjir Sungai Rampayan dipercepat

SEPANGGAR: Pelaksanaan projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Rampayan akan dipercepat menerusi beberapa langkah segera, termasuk merobohkan jambatan lama berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan dan mempercepat kerja pengorekan sungai bagi melancarkan aliran air.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, berkata langkah itu dikenal pasti hasil tinjauan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta kontraktor susulan desakan penduduk supaya projek berkenaan, khususnya fasa dua, disegerakan.

Katanya, jambatan lama itu perlu dirobohkan kerana menghalang aliran air.

“Selain itu, kerja pengorekan sungai dari jambatan ini hingga ke muara Sungai Rampayan juga akan dipercepatkan bagi memastikan aliran air keluar lebih lancar.

“Kita turut mengenal pasti isu mendapan pasir dari kawasan kuari yang beroperasi di Mansiang dan meminta Jabatan Alam Sekitar mengadakan pertemuan dengan syarikat terlibat bagi mencari penyelesaian untuk mengawal aliran pasir ke sungai.

“Kerja pengorekan sahaja tidak mencukupi sekiranya punca kemasukan pasir tidak dikawal kerana sungai boleh kembali cetek dalam tempoh tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau perkembangan projek tebatan banjir di Kampung Rampayan bersama agensi dan kontraktor terlibat, susulan demonstrasi penduduk yang mendakwa projek berkenaan gagal, di sini, Selasa.

Dalam perkembangan lain, Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata kontraktor turut diarahkan menyiapkan baki lima peratus kerja fasa satu menjelang akhir Disember ini.

Katanya, kelewatan pelaksanaan fasa berkenaan perlu diatasi bagi membolehkan projek diserahkan kepada JPS untuk penyelenggaraan sungai secara berkala dan lebih teratur.

“Fasa satu hanya tinggal lima peratus untuk disiapkan dan kita mahu ia diselesaikan menjelang akhir Disember ini seperti ditetapkan,” katanya.

Mengulas Fasa 2 projek tebatan banjir yang menelan kos RM46.8 juta, beliau berkata kontraktor bagi kerja pengorekan sudah dilantik, namun beberapa perkara perlu diselaraskan sebelum kerja fizikal dimulakan.

Antaranya termasuk menyelesaikan isu sambungan paip air dan bekalan elektrik “haram” di kawasan terbabit bagi mengelakkan gangguan serta risiko keselamatan kepada pekerja.

“Kerjasama dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) diperlukan bagi menyelesaikan isu sambungan elektrik tidak sah ini sebelum kerja fizikal dimulakan bagi mengelakkan risiko kemalangan kepada pekerja kontraktor yang terlibat.

“Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM2.5 juta bagi kerja-kerja pengorekan sungai Rampayan sepanjang kira-kira dua kilometer ini.

Mustapha berkata projek Fasa 2, yang pada asalnya dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), telah dimohon untuk dipercepat ke Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) supaya pelaksanaannya dapat dimulakan tahun depan.

Beliau berkata pelaksanaan Fasa 2 penting bagi menangani masalah banjir di Kampung Rampayan secara menyeluruh dan menyediakan penyelesaian jangka panjang kepada penduduk yang sekian lama berdepan risiko banjir.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved