
PUTRAJAYA: Akses pekerjaan bersyarat menerusi Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) hanya diberikan kepada pelarian yang layak dan telah berada di negara ini sebelum 1 Januari 2023, bukannya sebagai laluan kemasukan kepada pelarian baharu.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan, pelaksanaan program itu bukan bertujuan membolehkan pelarian menetap secara kekal, memperoleh status Penduduk Tetap (PR) atau mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.
“Sebarang akses pekerjaan yang diberikan kepada pemegang DPP adalah bersifat sementara, terhad dan tertakluk
kepada syarat serta kelulusan Kerajaan.
“DPP bukan galakan atau faktor penarik kepada pelarian baharu memasuki Malaysia. Kerajaan telah menetapkan 1 Januari 2023 sebagai tarikh akhir kelayakan.
“Hanya individu yang telah berada di Malaysia sebelum tarikh tersebut boleh dipertimbangkan untuk menyertai program ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KDN berkata, mereka yang memasuki negara selepas tarikh berkenaan tidak layak dipertimbangkan di bawah DPP.
Pemilikan Kad atau Surat UNHCR juga tidak memberikan kelayakan secara automatik.
“Kerajaan tetap meneruskan usaha penghantaran pulang pelarian ke negara asal dan penempatan semula ke negara ketiga.
“Pelaksanaan DPP serta pemberian akses pekerjaan bersyarat tidak mengubah matlamat tersebut.
“Sebaliknya, DPP merupakan mekanisme untuk mengenal pasti, menyaring, mendokumentasikan dan memantau pelarian sedia ada sementara penyelesaian akhir dilaksanakan mengikut undang-undang,” katanya.
Pada masa sama, KDN menjelaskan, pemberian akses pekerjaan kepada pemegang DPP bukan bermaksud pasaran pekerjaan negara dibuka secara bebas kepada pelarian.
“Kebenaran hanya diberikan kepada individu yang memenuhi kriteria ditetapkan, tertakluk kepada kelulusan kerajaan serta terhad kepada sektor dan jenis pekerjaan yang dibenarkan.
“Pelaksanaan ini mengambil kira keperluan sebenar industri, khususnya sektor yang
masih berdepan kekurangan tenaga kerja bagi pekerjaan bercirikan 3D yang kurang diceburi tenaga kerja tempatan,” katanya.
Jelas KDN,keutamaan peluang pekerjaan kepada warga Malaysia tetap terpelihara, selaras dengan dasar penggajian pekerja asing dan kepentingan keselamatan negara.
“Pada masa sama, akses pekerjaan secara sah membolehkan pelarian memperoleh kemahiran, pengalaman dan rekod pekerjaan yang boleh disahkan.
“Ini dapat membantu mereka memenuhi kriteria bagi laluan penempatan alternatif ke negara ketiga, termasuk program mobiliti pekerjaan yang ditawarkan oleh negara penerima,” katanya.
Kata KDN, pendekatan ini juga membolehkan kerajaan mengurus tenaga kerja asing yang telah berada di Malaysia secara terkawal, sekali gus mengurangkan keperluan membawa masuk pekerja asing baharu bagi mengisi kekosongan tertentu. – UTUSAN
The post Akses pekerjaan bersyarat kepada pelarian layak hanya sebelum 1 Januari 2023 appeared first on Utusan Malaysia.






