
PUTRAJAYA: Kerajaan mengambil alih fungsi pendaftaran dan penentuan status pelarian daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menerusi pelaksanaan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bermula 1 Januari lalu.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, ia membolehkan pelaksanaan pengesahan identiti, pendaftaran biometrik, saringan keselamatan selain pemantauan keberadaan pelarian dilaksanakan secara langsung oleh pihak berkuasa Malaysia.
“DPP dilaksanakan berlandaskan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023) yang menggariskan peranan dan tanggungjawab 20 kementerian serta agensi kerajaan.
“Kad DPP merupakan suatu bentuk Pas Khas di bawah Peraturan 14, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang bersifat bertempoh, tertakluk kepada syarat dan boleh dibatalkan atau ditarik balik mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, KDN berkata, isu berkaitan penghantaran pulang dan penempatan semula pelarian kekal menjadi keutamaan kerajaan.
“KDN bersama Kementerian Luar Negeri akan terus berkerjasama dengan negara asal dan negara ketiga bagi membolehkan penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.
“Dalam tempoh tersebut, DPP berperanan memastikan pelarian sedia ada dapat dikenal pasti, dipantau dan dikawal, bukannya dibiarkan berada di Malaysia tanpa rekod serta pengawasan pihak berkuasa,” jelasnya.
Tambah KDN, DPP juga bukan dasar penempatan kekal pelarian di yang mana matlamat kerajaan adalah mengurus keberadaan mereka secara teratur sementara usaha penghantaran pulang atau penempatan semula diteruskan.
“Keselamatan negara, kedaulatan undang-undang dan kepentingan rakyat Malaysia akan sentiasa menjadi keutamaan KDN,” ujarnya. – UTUSAN
The post DPP: Kerajaan ambil alih fungsi pendaftaran, tentu status pelarian UNHCR appeared first on Utusan Malaysia.






