Aksi berbahaya di Jambatan Putra, dua penunggang motosikal berkuasa tinggi ditahan

LocalPolitics
24 Apr 2026 • 11:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video tular di media sosial yang memaparkan dua motosikal berkuasa tinggi dipercayai ditunggang secara berbahaya.

KUALA LUMPUR - Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi ditahan polis selepas dipercayai melakukan aksi berbahaya di Jambatan Putra, Putrajaya yang tular dalam media sosial semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan satu hantaran tular di media sosial yang memaparkan dua motosikal berkuasa tinggi dipercayai ditunggang secara berbahaya.

Beliau berkata, menerusi siasatan awal yang dijalankan pihaknya telah mengenal pasti seorang daripada penunggang motosikal berkenaan.

Lelaki berusia 31 tahun itu kemudian tampil di Balai Trafik IPD Putrajaya bagi membantu siasatan dan mengaku pemilik motosikal terbabit serta mengesahkan kejadian berkenaan berlaku pada jam 12.30 tengah malam pada 19 April lepas.

"Siasatan awal turut mendapati kumpulan tersebut berada di lokasi berkenaan untuk menghasilkan kandungan media sosial dan bukan tujuan perlumbaan.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti tujuan sebenar.

"Difahamkan, ini kali pertama kumpulan berkenaan berkumpul di lokasi tersebut yang terletak berhampiran Masjid Putra,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, pihaknya turut menahan seorang lagi penunggang motosikal berusia 33 tahun serta menyita dua motosikal berkuasa tinggi, yang terlibat dalam kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, keterangan daripada dua lelaki terbabit telah diambil, dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

"Pihaknya juga sedang mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat dalam rakaman video berkenaan,” katanya.- Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved