Aksi mat rempit di LTSIP memalukan! Siapa berani merempit, motosikal terus disita – Loke

LocalPolitics
6 Apr 2026 • 9:53 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan aksi sekumpulan ‘mat rempit’ yang berkumpul dan melakukan aksi berbahaya di hadapan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu sebagai sesuatu yang bukan sahaja menyedihkan, malah memalukan.

image is not available

Menurut beliau, kerajaan Persekutuan telah membelanjakan hampir RM450 juta bagi menaik taraf lapangan terbang tersebut bagi meningkatkan konektiviti udara di Kelantan, selain merangsang pembangunan sosioekonomi serta menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu.

“Kelakuan golongan mat rempit ini di hadapan balai perlepasan terminal baharu bukan sahaja membahayakan nyawa orang ramai yang menggunakan lapangan terbang itu.
“Malah boleh dianggap sebagai tindakan sabotaj terhadap keselamatan dan ekonomi negeri,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Isnin.
image is not available

Foto: Bernama

Sehubungan itu, Loke berkata, beliau telah mengarahkan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di kawasan berkenaan.

Beliau menegaskan mana-mana individu yang didapati melakukan aktiviti merempit di hadapan lapangan terbang tersebut akan dikenakan tindakan tegas, termasuk penyitaan motosikal mereka.

“Saya telah mengarahkan Pengarah Penguatkuasa JPJ untuk menjalankan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di kawasan tersebut.
“Sesiapa yang berani merempit di depan airport akan disita terus motosikal mereka,” ujarnya.

image is not available

Pada masa sama, beliau turut meminta pihak pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memperketat kawalan laluan masuk dan keluar ke bangunan terminal bagi membendung gejala berkenaan daripada berulang.

“Saya juga telah meminta pihak pengurusan MAHB untuk memperketatkan laluan masuk dan keluar ke bangunan terminal untuk membendung gejala ini,” tambahnya lagi.

Terdahulu, LTSIP yang baru dinaik taraf dicemari dengan kehadiran sekumpulan ‘mat rempit’ yang didakwa mengganggu ketenteraman awam di kawasan tersebut.

image is not available

Menerusi beberapa video tular di media sosial, kelihatan sekumpulan anak muda dipercayai ‘mat rempit’ berkumpul di laluan pintu pelepasan yang lazimnya digunakan sebagai kawasan utama menurunkan dan mengambil penumpang.

Sumber: Facebook Anthony Loke Siew Fook