
KOTA BHARU - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang didakwa menendang seorang kanak-kanak perempuan dalam satu kejadian di sebuah restoran makanan Thai terkenal di Telipot, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam kira-kira jam 10.24 malam tadi berhubung satu video kejadian berkenaan yang tular di media sosial.
Menurut beliau, video tersebut memaparkan seorang lelaki bertindak agresif dengan menendang seorang kanak-kanak perempuan dipercayai anaknya, ketika berada di premis berkenaan.
“Video berkenaan dimuat naik oleh pemilik restoran menerusi akaun Facebook mereka sebelum ia tular di media sosial.
“Susulan laporan itu, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta menghubungi Inspektor Nur Faraheen Azman Lim di talian 011-11136722 bagi membantu siasatan.
Aksi ganas lelaki berkenaan boleh disaksikan menerusi pautan https://www.facebook.com/share 1FABNDAofg/?mibextid=wwXIfr - Getaran, 13 September 2026






