Akta baharu tak boleh batal hak royalti Terengganu – Ahmad Samsuri

LocalPolitics
19 Nov 2026 • 3:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Akta baharu tak boleh batal hak royalti Terengganu – Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri.

​KUALA TERENGGANU – Perjanjian pembayaran tunai antara PETRONAS dengan kerajaan Terengganu yang dimeterai pada 1975 berasaskan Akta Kemajuan Petroleum 1974 merupakan dokumen penting yang menentukan kedudukan hak pembayaran petroleum kepada Terengganu dan bukannya sekadar catatan sejarah untuk dirujuk apabila perlu.

​Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebarang akta yang diperkenalkan selepas tempoh berkenaan tidak wajar dijadikan alasan untuk membatalkan hak negeri itu yang telah dipersetujui lebih awal.

​"Untuk rekod, perjanjian pembayaran tunai antara PETRONAS dengan kerajaan negeri Terengganu telah dimeterai pada tahun 1975 berasaskan Akta Kemajuan Petroleum 1974.

​"Perjanjian ini bukan sekadar catatan sejarah untuk dirujuk apabila perlu. Ia merupakan dokumen penting yang mesti diberikan perhatian serius dalam menentukan kedudukan hak pembayaran petroleum kepada Terengganu.

"Sudah tentu apa jua akta yang dibuat selepas dari itu, tidak wajar dijadikan penyebab untuk membatalkan hak Terengganu yang dimeterai lebih awal," katanya.

​Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Sidang Belanjawan Terengganu 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, pada Khamis.

​Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menegaskan bahawa hak royalti petroleum Terengganu bukan perkara remeh yang boleh dipandang ringan atau diketepikan oleh mana-mana pihak.

​Menurutnya, kerajaan negeri akan terus mempertahankan hak serta kepentingan Terengganu berlandaskan perjanjian dan kerangka undang-undang yang telah dipersetujui.

​Beliau turut menyelar pihak yang memperlekehkan tuntutan royalti Terengganu seolah-olah kerajaan negeri tidak mempunyai perkara lain untuk diperjuangkan.

​"Jika ada mana-mana pihak yang mempertikaikan hak Terengganu ini, sudah tentu mereka adalah pihak yang tidak wajar diberikan apa jua amanah membina negeri dan negara ini," ujarnya.

​Dalam pada itu, Ahmad Samsuri mendedahkan bahawa pembayaran royalti petroleum yang turut disebut dengan pelbagai nama termasuk wang tunai petroleum, dana khas kerajaan Persekutuan dan wang ihsan tidak diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan negeri sejak pertukaran kerajaan menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022.

​Beliau menyifatkan keadaan berkenaan sebagai satu realiti yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan negeri dan akan terus diingatinya sampai bila-bila walaupun tidak lagi memegang jawatan Menteri Besar kelak.

​Sehubungan itu, katanya, beliau berharap agar keadaan tersebut kembali pulih sepenuhnya seperti yang sepatutnya sekiranya berlaku perubahan kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

Menyentuh soal pengukuhan kedudukan fiskal, katanya, kerajaan negeri akan mempergiat kutipan hasil termasuk cukai dan premium tanah, royalti galian, hasil perhutanan, bayaran perkhidmatan serta mengurangkan tunggakan hasil selain meneroka sumber pendapatan baharu.

​Jelas beliau, keutamaan perbelanjaan pula akan diberikan kepada projek pembangunan yang mempunyai komitmen serta infrastruktur asas yang mendesak.

​Dalam perkembangan berkaitan, katanya, Kumpulan Terengganu Incorporated mencatatkan sumbangan sebanyak RM105.5 juta kepada kerajaan negeri pada tahun 2025 dan RM38.7 juta bagi enam bulan pertama tahun 2026.

​Kumpulan berkenaan turut menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 9,200 individu serta menyumbang RM16.3 juta menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada 2025.

​Selain memperoleh pegangan ekuiti dalam sektor eksplorasi dan pengeluaran minyak dan gas yang dijangka memberi pulangan kewangan pada suku pertama 2027, syarikat itu juga berjaya menarik pelaburan melebihi RM10 bilion bagi Projek Solar Terapung Hidro Hibrid di Tasik Kenyir.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved