
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM1,500 kepada hampir 14,000 penjawat awam negeri dengan peruntukan keseluruhan RM21 juta.
Pengumuman itu dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan Terengganu 2027 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Beliau berkata, ia merupakan penghargaan kerajaan negeri terhadap komitmen dan sumbangan penjawat awam dalam memastikan kelancaran pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Kerajaan negeri bersetuju memberikan bonus sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan RM21 juta,” katanya ketika ditemui.
Mengulas mengenai kaedah dan tarikh pelaksanaan bayaran, Ahmad Samsuri memaklumkan, perkara itu akan diperincikan oleh Pegawai Kewangan Negeri.
“Dari segi teknikal, Pegawai Kewangan Negeri akan perincikan bagaimana, sama ada dari segi agihan kita akan tengok kaedah Persekutuan itu kita akan perincikan juga.
“Sama ada kita akan buat begitu atau kita buat agihan terus, itu kita akan tengok juga,” katanya.
Isnin lalu, kerajaan negeri membentangkan Belanjawan Terengganu 2027 yang memperuntukkan RM1.983 bilion bagi perbelanjaan mengurus termasuk caruman sebanyak RM450 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan.
Belanjawan bertemakan ‘Melakar Bahagia, Memacu Sejahtera’ itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan negeri dengan peruntukan RM346 juta atau 77 peratus daripada perbelanjaan pembangunan disalurkan kepada sektor sosial.
Sektor ekonomi menerima RM82 juta atau 18 peratus manakala RM22 juta atau lima peratus diperuntukkan kepada sektor pentadbiran bagi menyokong agenda pembangunan negeri.-UTUSAN
The post Terengganu umum bonus RM1,500 kepada penjawat awam appeared first on Utusan Malaysia.






