
PETALING JAYA – Penggubalan Akta E-Dagang baharu perlu disegerakan bagi memastikan pengguna lebih terlindung selain mewujudkan persaingan adil kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta peniaga tempatan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Dr. Fuziah Salleh menerusi hantaran di laman Facebook berkata, kerangka perundangan e-dagang negara perlu bergerak seiring perkembangan teknologi dan perubahan cara rakyat membeli serta menjalankan perniagaan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi menutup kelompongan dalam Akta Perdagangan Elektronik 2006 khususnya melibatkan perlindungan pengguna dalam ekosistem digital yang semakin kompleks serta transaksi rentas sempadan.
“Perkara ini perlu disegerakan kerana kita perlu melihat kesannya kepada ekonomi negara dalam jangka panjang.
“Kerangka e-dagang kita juga perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan cara rakyat membeli serta berniaga hari ini,” katanya.
Fuziah berkata, antara perkara yang perlu diberikan perhatian adalah perlindungan terhadap PMKS dan peniaga tempatan daripada persaingan tidak seimbang.
“Harga yang kompetitif memang memberi manfaat kepada pengguna, tetapi jangan sampai wujud persaingan yang tidak seimbang sehingga peniaga tempatan kehilangan pasaran dan mata pencarian pada masa hadapan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, penjual asing yang berniaga kepada pengguna Malaysia perlu mempunyai tahap tanggungjawab dan pematuhan jelas sekiranya berlaku penipuan, penjualan produk tidak selamat atau pertikaian.
Tambahnya, tanggungjawab platform e-dagang juga perlu diperjelaskan kerana platform masa kini bukan lagi sekadar menjadi tempat menemukan penjual dan pembeli, sebaliknya mempunyai pengaruh besar terhadap bagaimana produk dipasarkan dan dijual.
Beliau berkata, perdagangan dan penyertaan asing juga perlu membawa nilai tambah kepada Malaysia termasuk menerusi pelaburan, peluang pekerjaan, pembangunan bakat, pemindahan teknologi serta membuka ruang kepada perusahaan tempatan dalam rantaian bekalan.
“Kita bukan hanya bercakap soal harga murah, tetapi bagaimana untuk mewujudkan ekosistem yang lebih sihat supaya PMKS dan peniaga tempatan mempunyai ruang untuk berkembang dan bersaing dengan lebih adil,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Akta E-Dagang perlu segera, lindungi pengguna dan peniaga tempatan – Fuziah appeared first on Kosmo Digital.






