Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan Akta Hasutan masih diperlukan bagi menangani isu melibatkan kaum, agama dan institusi diraja (3R), namun tidak wajar digunakan terhadap pengkritik politik.
Isu politik haris dijawab secara politik
Menerusi kenyataan yang dimuat naik ke Facebook beliau, Fahmi memaklumkan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah jelas bahawa isu politik harus dijawab secara politik, manakala tindakan undang-undang hanya melibatkan perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, perpaduan negara dan institusi raja-raja Melayu.
“Jika ia menyentuh raja-raja Melayu, atau perkara berkaitan agama dan kaum, ini adalah elemen hasutan yang boleh mengganggu keharmonian dan perpaduan.
“Polis perlu mengambil tindakan,” Ujarnya dalam sesi langsung ‘Tanya – Jangan Sentap!’.
Fahmi berkata demikian ketika menjawab soalan Noor Azizan Abdul Majid dalam satu sesi temu bual yang turut menyentuh pelbagai isu semasa termasuk tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan global.

Tiada campur tangan siasatan SPRM
Beliau menjelaskan pendekatan baharu yang dibawa oleh Anwar memberi penekanan kepada pemisahan antara isu politik dan penguatkuasaan undang-undang, selain memastikan tiada campur tangan dalam siasatan oleh agensi seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ramai beranggapan Perdana Menteri membuat panggilan untuk meminta tindakan diambil, mempengaruhi hakim dalam kes tertentu, atau mengarahkan perbicaraan diteruskan. Hakikatnya, perkara itu tidak berlaku,” katanya.
Dalam masa sama, Fahmi turut menolak dakwaan bahawa negara kembali kepada pendekatan lama dalam mengendalikan perhimpunan aman dan menegaskan bahawa era tersebut sudah pun berlalu.
Sumber: Facebook Fahmi Fadzil
