
PADA April lalu, saya menulis sebuah fiksyen spekulatif bertajuk Si Lang Gui. Latarnya ialah Taiping, Perak pada 2050. Walaupun cerpen itu lahir daripada imaginasi, saya sengaja menyelitkan fakta bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah menjadi sebuah negara menua.
Saya membayangkan keadaan apabila warga emas mula dilihat sebagai beban, lalu kasih sayang digantikan dengan pertimbangan untung rugi.
Cerpen itu disiarkan di portal Cukaria pada Jun lalu, bukan sekadar untuk menghiburkan pembaca, malah sebagai amaran tentang sesuatu yang masih berupa kemungkinan hari ini tetapi boleh menjadi kenyataan jika kita terus menangguhkan penyelesaian.
Ketika saya menulis cerpen pada April lalu, saya tidak menyangka, beberapa minggu kemudian, kerajaan akan mengumumkan cadangan menggubal Akta Penjagaan Ibu Bapa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan kertas cadangan serta draf rang undang-undang dalam tempoh enam bulan.
Tujuannya jelas iaitu memastikan tanggungjawab anak terhadap ibu bapa yang lanjut usia tidak dipandang ringan ketika Malaysia sedang menuju status negara tua.
Pada hemat saya, cadangan itu tidak wajar dilihat secara sempit sebagai usaha menghukum anak-anak. Isu yang sedang dihadapi jauh lebih besar daripada hubungan antara ibu bapa dengan anak.
Malaysia sedang mengalami perubahan demografi yang ketara. Jangka hayat semakin meningkat, kadar kelahiran pula semakin menurun. Akibatnya, bilangan warga emas bertambah dengan pantas, sedangkan jumlah ahli keluarga yang mampu menjaga mereka semakin berkurangan. Inilah realiti yang sedang dihadapi banyak negara maju.
Sebenarnya, beberapa negara Asia sudah lama mempunyai undang-undang yang meletakkan tanggungjawab tertentu kepada anak untuk membantu ibu bapa yang uzur. Namun, undang-undang semata-mata bukan penyelesaian mutlak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengakui pelbagai pandangan masih perlu diperhalusi kerana pelaksanaannya melibatkan cabaran yang kompleks.
Pada masa sama, ada pihak mengingatkan supaya akta yang bakal digubal mengambil kira realiti keluarga moden, termasuk kekangan kewangan, jarak tempat tinggal, tekanan hidup dan keadaan ibu bapa yang mungkin pernah mengabaikan anak-anak ketika kecil.
Di sinilah saya kembali mengingati cerpen Si Lang Gui. Cerpen itu bukan tentang hukuman terhadap anak yang gagal menjaga ibu bapa, sebaliknya bertanya satu soalan yang lebih besar iaitu apa mungkin terjadi jika masyarakat mula menganggap warga emas sebagai liabiliti?
Jawapannya boleh dilihat di Jepun. Dunia mengenali fenomena ini sebagai ‘kodokushi’ iaitu kematian sunyi. Seseorang meninggal dunia bersendirian di rumah, tanpa sesiapa menyedarinya selama berhari-hari, berminggu-minggu atau lebih lama.
Istilah itu dahulunya kedengaran asing. Kini, menjadi sebahagian daripada perbendaharaan kata masyarakat Jepun kerana berlaku terlalu kerap.
Data rasmi yang diterbitkan di Jepun menunjukkan hampir 77,000 kes kematian bersendirian direkodkan pada 2025. Daripada jumlah itu, lebih 22,000 jenazah hanya ditemui selepas lebih seminggu.
Statistik seperti ini bukan sekadar angka. Di sebalik setiap nombor ada seorang manusia yang pernah mempunyai keluarga, rakan dan kenangan tetapi akhirnya menghembuskan nafas terakhir tanpa sesiapa berada di sisi.
Laporan media antarabangsa pula memaparkan kisah yang lebih menyayat hati. Ada jiran hanya menyedari kematian apabila bau busuk mula merebak. Ada jenazah ditemui selepas bil utiliti tidak dibayar selama berminggu-minggu.
Ada pula yang hanya ditemui apabila pegawai penghantaran barang gagal menghubungi penghuni rumah berulang kali. Semua ini bukan lagi fiksyen spekulatif, sebaliknya realiti yang sedang berlaku di sebuah negara maju dengan sistem kesihatan yang baik dan jangka hayat tinggi.
Saya tidak mengatakan Malaysia pasti akan mengalami fenomena yang sama seperti Jepun. Namun, sebagai penulis, tugas saya bukan menunggu tragedi berlaku sebelum menulis mengenainya.
Fiksyen spekulatif membolehkan kita melihat kemungkinan masa depan berdasarkan arah aliran semasa. Itulah yang saya cuba lakukan melalui Si Lang Gui. Cerita rekaan kadangkala lebih mudah menyentuh hati berbanding laporan statistik.

Ahli gerontologi dan pakar dasar sosial sejak sekian lama mengingatkan, situasi penuaan penduduk memerlukan persediaan menyeluruh. Dalam buku The 100-Year Life (2016) oleh Dr. Lynda Gratton dan Dr. Andrew Scott, misalnya, dijelaskan, masyarakat yang semakin tua memerlukan perubahan pada dasar ekonomi, penjagaan kesihatan, hubungan kekeluargaan dan cara komuniti berfungsi.
Maksudnya, cabaran negara tua bukan sekadar soal umur tetapi soal bagaimana masyarakat memilih untuk menjaga maruah warga emas apabila usia semakin lanjut.
Itulah juga sebabnya saya merasakan Akta Penjagaan Ibu Bapa perlu difahami sebagai sebahagian daripada ekosistem yang lebih besar. Undang-undang sahaja tidak mencukupi.
Negara memerlukan lebih banyak pusat jagaan berkualiti, sistem sokongan komuniti, perkhidmatan penjagaan di rumah, insentif kepada penjaga keluarga, perlindungan terhadap warga emas yang diabaikan, selain pendidikan sejak awal tentang hakikat menjaga ibu bapa bukan sekadar kewajipan moral, malah ukuran tamadun sesebuah bangsa.
Tajuk cerpen Si Lang Gui dalam dialek Hokkien dan budaya Cina merujuk roh pemanggil kematian. Cerpen ini akan turut dimuatkan dalam sebuah antologi yang sedang diusahakan oleh Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).
Apa-apa pun, saya berharap kisah di dalamnya kekal sebagai karya fiksyen. Saya tidak mahu suatu hari nanti pembaca berkata, “Cerita ini sudah menjadi kenyataan di Malaysia.”
Lebih daripada itu, kita berharap masyarakat Malaysia segera mengambil iktibar daripada pengalaman Jepun dan negara-negara lain sebelum terlambat.
Apabila negara semakin tua, apa yang benar-benar diuji bukan kekuatan ekonomi atau kecanggihan teknologi, sebaliknya sejauh mana kita masih menganggap setiap warga emas sebagai manusia yang berhak dihormati, disayangi dan ditemani hingga ke penghujung usia. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).
The post Akta jadi perlindungan warga emas appeared first on Utusan Malaysia.






