KUALA LUMPUR — Menjelang penguatkuasaan rasmi Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) bermula esok, My Mobility Vision Sdn Bhd (MMV) bersama gabungan rentas sektor mengemukakan pelan hala tuju pelaksanaan bagi memastikan dasar itu benar-benar memberi impak kepada pekerja gig.
Gabungan yang melibatkan rakan industri, agensi kerajaan, ahli akademik, badan pemikir dan persatuan pekerja gig itu turut menerbitkan kertas dasar bertajuk Mengoperasikan “Pendapatan Adil” di bawah Akta 872, hasil sesi meja bulat peringkat tinggi di Cyberjaya pada 9 Mac lalu.
**media[3476456]**
Menurut MMV, akta berkenaan merupakan langkah penting dalam usaha memformalkan pekerjaan gig serta memperkukuh perlindungan dalam ekonomi digital negara, namun pelaksanaan yang tepat menjadi penentu kejayaan sebenar.
“Akta 872 adalah rangka kerja yang tepat, namun pelaksanaan bermula tanpa perincian teknikal yang lengkap. Kerajaan kini mempunyai pilihan sama ada melaksanakan teks undang-undang semata-mata atau memastikan ia benar-benar mengubah kehidupan pekerja,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Perbincangan meja bulat itu turut mengenal pasti beberapa cabaran struktur, termasuk isu kos operasi yang tinggi dalam kalangan pekerja gig.
Menurut gabungan itu, kos seperti bahan api, penyelenggaraan, insurans, komisen platform dan caruman perlindungan sosial boleh mencecah antara 70 hingga 80 peratus daripada pendapatan kasar.
Jelasnya, pendekatan dasar berasaskan pendapatan kasar akan memberi gambaran mengelirukan mengenai pendapatan sebenar pekerja, sekali gus menjejaskan tahap perlindungan yang diperlukan.
"Tanpa langkah-langkah ini, Akta 872 berisiko menjadi undang-undang yang melindungi pekerja hanya di atas kertas, tetapi tidak mengubah realiti harian mereka," katanya.
Sehubungan itu, gabungan berkenaan mengemukakan 10 cadangan utama bagi memastikan pelaksanaan akta lebih berkesan, antaranya:
1. Pembentukan telus Majlis Perundingan
Memandangkan Majlis belum ditubuhkan di bawah Seksyen 47, proses pemilihannya mesti berasaskan merit dan mewakili pekerja, platform pelbagai saiz, pengawal selia, serta pakar teknikal bebas. Legitimasi institusi Majlis dan akta bergantung sepenuhnya kepada cara ia dibentuk.
2. Peralihan kepada Rangka Kerja Penentuan Pendapatan
Peraturan perlu menetapkan kaedah pengiraan pendapatan, bukan mengenakan kadar gaji statik yang tidak sesuai untuk sektor dengan 15 model perniagaan berbeza. Pendekatan khusus sektor dan platform seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 47(1)(a–b) perlu dilaksanakan sejak awal.
3. Mewujudkan Bakul Kos Piawai
Di bawah Seksyen 47(1)(b), kerajaan perlu menetapkan rangka kerja yang mengambil kira kos langsung seperti bahan api, penyelenggaraan, insurans, yuran platform serta masa menunggu. Bakul ini perlu dikaji semula secara berkala berdasarkan data pasaran.
4. Mengguna pakai pendapatan bersih sebagai penanda dasar
Dasar perlu berasaskan pendapatan selepas potongan, bukan angka kasar. Operator perlu memaparkan anggaran pendapatan bersih kepada pekerja sebelum mereka menerima tugasan supaya setiap keputusan dibuat secara maklum.
5. Melaksanakan kadar minimum dinamik berasaskan data
Majlis perlu diberi kuasa di bawah Seksyen 47(1)(f) untuk menyesuaikan kadar minimum berdasarkan perubahan kos sebenar seperti harga bahan api. Kadar statik akan menjadi tidak relevan.
6. Mempercepat integrasi API bagi pekerja pelbagai platform
Pekerja yang aktif di pelbagai platform menghadapi masalah caruman SOCSO berganda dan rekod pendapatan yang berpecah. Kerajaan perlu mempercepat sistem integrasi data seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 83(c) dan 83(g).
7. Memperkenalkan perlindungan sosial wajib secara berperingkat
Caruman SOCSO wajib perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan sokongan insentif dan subsidi. Pelaksanaan mendadak tanpa infrastruktur akan menyebabkan ketidakpatuhan.
8. Membangunkan garis panduan ketelusan algoritma
Di bawah Seksyen 8(2), operator perlu mendedahkan bagaimana sistem automatik mempengaruhi tugasan pekerja. Piawaian minimum perlu ditetapkan bagi melindungi pekerja tanpa menjejaskan algoritma proprietari.
9. Menyeragamkan mekanisme penyahaktifan dan tuntutan
Peruntukan Seksyen 14 memerlukan prosedur yang lebih jelas termasuk penalti berperingkat, pampasan semasa penggantungan, dan penyelesaian pertikaian dalam tempoh tertentu.
10. Memperkenalkan pematuhan berperingkat untuk platform kecil
Keperluan seragam akan membebankan platform kecil dan mengurangkan persaingan pasaran. Pendekatan berperingkat, sandbox kawal selia, dan sokongan teknikal adalah penting untuk keseimbangan pasaran.
Gabungan itu menegaskan, tanpa langkah berkenaan, Akta 872 berisiko menjadi undang-undang yang hanya melindungi pekerja di atas kertas tanpa mengubah realiti harian mereka.
Dalam pada itu, MMV menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan termasuk Kementerian Sumber Manusia, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Dokumen penuh cadangan itu akan diserahkan kepada Majlis Perundingan selepas ia ditubuhkan.
“Pekerja gig tidak memerlukan perlindungan simbolik, tetapi rangka kerja yang berfungsi dan mengambil kira realiti sebenar. Pintu terbuka. Masa semakin suntuk,” menurut kenyataan itu.

