SHAH ALAM- Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) menuntut ketepatan fakta dan akauntabiliti dalam pelaksaan Akta Pekerja GIG 2025 (Akta 872) susulan kenyataan Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin yang menyeru agar akta itu dinilai secara 'adil dan tidak berat sebelah'.
Menurut PENGHANTAR, dakwaan GEM itu bukanlah bersifat berat sebelah sebaliknya merupakan suara komuniti pekerja GIG mengenai kelemahan struktur akta tersebut.
"PENGHANTAR turut menghantar perwakilan ketika sesi libat urus bersama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) yang berlangsung pada 11 Mac lalu menegaskan Akta 872 telah pun diluluskan di Parlimen dan penguatkuasaannya pada penghujung Mac ini.
"Sebarang penambahbaikan sepatutnya dilakukan sebelum pembentangan di Parlimen. Sebarang keperluan untuk pindaan substantif perlu dibawa semula ke Parlimen kerana tiada keharmonian dalam kedua-dua akta berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, isu pertindihan akta juga dibangkitkan, terutamanya konflik definisi status warganegara dan penduduk tetap yang boleh menjejaskan pekerja e-hailing dan p-hailing.
Dalam pada itu, PENGHANTAR turut mempersoalkan kenyataan GEM yang menyifatkan penilaian akta melalui lensa Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) sebagai 'pendekatan sempit'.
"GEM mendakwa 'perjuangan ini telah mengambil masa bertahun-tahun', persoalan timbul mengapa sesi libat urus masih perlu diadakan walhal RUU sudah diluluskan di Parlimen? Malah pada Ogos 2025, Menteri KESUMA ketika itu turut menyatakan sebanyak 40 sesi libat urus sudah diadakan melibatkan hampir 4,000 pihak berkepentingan.
"Maka itu dengan sendirinya menimbulkan persoalan, jika 40 sesi sudah diadakan, mengapa libat urus masih diadakan lagi? Itu jelas menunjukkan masih ada kelemahan dan ketidakpastian terhadap isi kandungan akta itu sendiri," katanya.
Selain itu, PENGHANTAR menyelar kenyataan GEM yang menolak ujian pelaksanaan akta menegaskan pekerja gig bukan 'tikus makmal' untuk eksperimen dasar.
Persatuan itu juga menekankan bahawa sebarang cadangan dan saranan perlu dikaji dan diperbaiki sebelum kelulusan akta, bukannya dilakukan secara reaktif selepas pelaksanaan, bagi mengelak kekeliruan dan risiko terhadap pekerja tempatan.
"PENGHANTAR menyeru reformasi yang bijak dan bukan membuta tuli. Kami sentiasa menyokong usaha kerajaan untuk memperkukuh perlindungan pekerja gig. Namun, sokongan ini perlu disertai pandangan yang bijak dan kritikan yang membina supaya pembangunan ekosistem digital negara benar benar selari dengan prinsip keadilan sosial.
"kami berpandangan bahawa komuniti pekerja gig perlu bersuara secara lebih tersusun dan bersatu, bukan sekadar menjadi pertubuhan yang mengeluarkan kenyataan media secara reaktif tanpa penelitian yang mendalam terhadap kandungan undang-undang yang dibahaskan.
"Sehubungan itu, PENGHANTAR dengan terbuka menawarkan satu sesi ilmu dan wacana teknikal kepada kepimpinan serta ahli GEM bagi mendalami isu-isu perundangan dan kelemahan teknikal yang wujud dalam rangka kerja Akta berkaitan," katanya.
