PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju membangunkan kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi menerusi pendekatan Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (One Higher Education Act (OHEA) susulan keputusan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu, selaras dengan Inisiatif 5A.2 di bawah Lonjakan Kelima Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
Menurut KPT, langkah berkenaan bukan sekadar menggantikan AUKU, sebaliknya bertujuan membangunkan kerangka perundangan yang lebih komprehensif, jelas dan responsif terhadap keperluan pendidikan tinggi masa kini serta masa hadapan.
"Proses pembangunan kerangka berkenaan akan dilaksanakan secara terbuka, tersusun dan inklusif menerusi empat langkah utama iaitu menubuhkan Jawatankuasa Bebas untuk menjalankan kajian dan mengemukakan syor,” menurut kenyataan itu.
Ujar kementerian itu, langkah seterusnya membabitkan libat urus menyeluruh bersama semua pemegang taruh dalam ekosistem pendidikan tinggi, sebelum kerangka dasar dan perundangan dimuktamadkan sebagai asas kepada rang undang-undang baharu.
KPT turut akan menyediakan mekanisme peralihan bagi memastikan kesinambungan tadbir urus dan operasi institusi pendidikan tinggi.
"Proses ini akan dilaksanakan secara teliti bagi memastikan pemansuhan AUKU tidak mewujudkan kelompangan perundangan atau menjejaskan kesinambungan tadbir urus dan pengoperasian institusi pendidikan tinggi," jelas KPT.
Tambah kementerian, matlamat akhir adalah untuk membangunkan kerangka perundangan pendidikan tinggi lebih kukuh, berdaya tahan dan berpandangan jauh, yang dapat memperkukuh institusi, melindungi kepentingan seluruh warga pendidikan tinggi serta menyediakan ruang yang lebih luas untuk autonomi, inovasi dan perkembangan pendidikan tinggi negara.
Pada 15 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka.
Menurut Anwar, meskipun beberapa pindaan telah dibuat bagi memberikan lebih banyak kebebasan kepada mahasiswa, masih terdapat mahasiswa yang tidak berpuas hati dan mengemukakan memorandum supaya akta berkenaan dimansuhkan.
AUKU mula berkuat kuasa pada 30 April 1971, dengan tujuan membuat peruntukan bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti serta kolej universiti di Malaysia, selain perkara lain yang berkaitan dengan institusi berkenaan.
Sepanjang tempoh pelaksanaannya, AUKU melalui beberapa siri pindaan, termasuk pada 1971, 1975, 1983, 1996, 2009 dan 2012.
KPT sebelum ini menjelaskan bahawa AUKU menjadi antara punca kuasa utama berkaitan penubuhan, penutupan dan pentadbiran institusi pendidikan tinggi serta hubungan institusi dengan kementerian.




