Jawatankuasa bebas ditubuh teliti One Higher Education Act

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 12:20 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jawatankuasa bebas ditubuh teliti One Higher Education Act

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi meneliti keseluruhan aspek berkaitan One Higher Education Act susulan keputusan kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, penubuhan jawatankuasa bebas itu merupakan langkah pertama yang akan dilaksanakan dalam usaha membangunkan One Higher Education Act bagi menggantikan AUKU.

Katanya, jawatankuasa bebas berkenaan akan melihat aspek yang diperlukan bagi memastikan akta baharu yang bakal diwujudkan dapat merangkumi keseluruhan perkara berkaitan institusi pendidikan tinggi.

“Dalam mesyuarat Kabinet semalam, Perdana Menteri memaklumkan Kabinet telah mengambil maklum mengenai keputusan untuk memansuhkan AUKU, tetapi pada masa sama perlu ada akta baharu iaitu One Higher Education Act.

“Kita akan menubuhkan satu jawatankuasa bebas untuk melihat dan keseluruhan aspek untuk akta baharu yang akan kita tubuhkan.

“Proses menggubal kerangka perundangan baharu ini akan dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan. KPT juga akan mewujudkan satu kumpulan bagi membangunkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu ini.

“Jadi semua pihak akan kita libatkan. Jadi ini komitmen saya, komitmen kementerian, komitmen Perdana Menteri dan komitmen kerajaan untuk pastikan sebuah akta baharu ini nanti akan merangkumi kesemuanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut Zambry, KPT sudah mula melaksanakan perancangan untuk mengubah akta sedia ada kepada One Higher Education Act seperti yang tertera dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

Katanya, proses berkenaan memerlukan penelitian secara bertahap dan kajian menyeluruh kerana perkembangan pendidikan negara berlaku secara dinamik selepas lebih 50 tahun.

“Di peringkat kami, di peringkat kementerian, kami sudah melihat dari segi aspek untuk bagaimana kita merangka ke hadapan.

“Kerana setelah 50 tahun, perkembangan pendidikan kita yang telah berlaku begitu dinamik sekali, maka tentunya akan perlu kita lihat dalam pelbagai aspek,” katanya.

AUKU sudah tujuh kali dipinda sejak ia diperkenalkan pada 1971, dengan pindaan pada 2012 membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus.

AUKU turut dipinda pada 1971, 1975, 1983, 1996 dan 2009.

Pindaan terbaru pada 2024 menyaksikan tindakan tatatertib ke atas pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk di bawah kuasa Naib Canselor, sebaliknya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar iaitu menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU. – UTUSAN

The post Jawatankuasa bebas ditubuh teliti One Higher Education Act appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved