
Kerajaan bersetuju membangunkan kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi menerusi pendekatan One Higher Education Act (OHEA) susulan keputusan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) atau AUKU.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam, susulan pengumuman Perdana Menteri pada 15 Ogos lalu mengenai pemansuhan AUKU.
Menurut KPT, pendekatan OHEA itu selaras dengan Inisiatif 5A.2 di bawah Lonjakan Kelima Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
“Keputusan ini merupakan langkah penting dalam pembaharuan pendidikan tinggi negara.
“Tumpuan kerajaan bukan sekadar menggantikan AUKU, tetapi membangunkan suatu kerangka perundangan yang lebih komprehensif, jelas dan responsif terhadap keperluan pendidikan tinggi masa kini dan masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KPT berkata, pembangunan kerangka perundangan baharu itu akan dilaksanakan secara terbuka, tersusun dan inklusif menerusi empat langkah utama.
Ujarnya, langkah berkenaan termasuk penubuhan Jawatankuasa Bebas untuk menjalankan kajian dan mengemukakan syor, selain melaksanakan sesi libat urus secara menyeluruh bersama semua pemegang taruh dalam ekosistem pendidikan tinggi.
Kementerian itu turut akan memuktamadkan kerangka dasar dan perundangan sebagai asas penyediaan Rang Undang-Undang baharu.
Selain itu, jelasnya, mekanisme peralihan akan turut disediakan bagi memastikan kesinambungan tadbir urus dan operasi institusi pendidikan tinggi tidak terjejas sepanjang proses pemansuhan dan penggantian kerangka perundangan itu.
Menurut KPT, keseluruhan proses berkenaan akan dilaksanakan secara teliti bagi memastikan pemansuhan AUKU tidak mewujudkan sebarang kelompangan perundangan atau menjejaskan pengoperasian institusi pendidikan tinggi.
“Matlamat akhirnya adalah untuk membangunkan kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih kukuh, berdaya tahan dan berpandangan jauh.
“Ia dapat memperkukuh institusi, melindungi kepentingan seluruh warga pendidikan tinggi serta menyediakan ruang yang lebih luas untuk autonomi, inovasi dan perkembangan pendidikan tinggi negara,” katanya.






