
PETALING JAYA – Kerajaan sedang meneliti cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 bagi memperketat kawal selia industri kurier serta meningkatkan keselamatan dan perlindungan pengguna.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, susulan cadangan itu, kerajaan turut merancang mewartakan Kaedah-kaedah Perkhidmatan Pos (Keselamatan Perkhidmatan Pos dan Barang Pos yang Dilarang) 2026 (PSR2026).
Bagaimanapun kata MCMC, ia tertakluk kepada proses kelulusan berkaitan.
“Langkah ini bertujuan bagi memperkukuh keselamatan, akauntabiliti industri dan perlindungan pengguna, seiring perkembangan pesat e-dagang,” katanya.
Cadangan berkenaan dikemukan sempena sambutan Hari Kurier Negara 2026 (HKN 2026) yang dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata MCMC, usaha berkenaan merupakan sebahagian komitmen kerajaan memperkukuh industri pos dan kurier menerusi pembaharuan kawal selia.
Selain itu katanya, ia juga akan mengukuhkan kerjasama strategik serta transformasi digital bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan daya saing industri.
Ini kerana Industri pos dan kurier negara ketika ini dianggarkan bernilai RM6.9 bilion.
Dalam perkembangan berkaitan, majlis sambutan HKN2026 turut menyaksikan pelancaran inisiatif Anti-Scam Parcel Shield yang diterajui Postal Forum dengan sokongan MCMC bagi menangani penipuan penghantaran bungkusan.
MCMC turut menggalakkan Inisiatif Perkongsian Rangkaian Kurier (Courier Network Sharing) menerusi projek rintis penghantaran peringkat akhir (last-mile delivery) di lokasi terpilih.
Langkah berkenaan bagi menilai potensi pengoptimuman infrastruktur, pengurangan pertindihan operasi dan peningkatan akses perkhidmatan sebelum dipertimbangkan untuk diperluas.
Selain itu, transformasi digital diperkukuh menerusi pembangunan Sistem Pengalamatan Nasional (NAS) bagi meningkatkan ketepatan alamat dan kecekapan penghantaran.
“Ia termasuk PAKEJ Map yang memudahkan pengguna mencari lebih 47,000 lokasi perkhidmatan pos dan kurier di seluruh negara,”kata MCMC. – KOSMO! ONLINE
The post Akta Perkhidmatan Pos 2012 akan dipinda, industri kurier diperketat appeared first on Kosmo Online.



