Parcel Shield dilancar, perkukuh kerjasama lawan penipuan

LocalBusiness & Finance
31 Oct 2026 • 5:10 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Parcel Shield dilancar, perkukuh kerjasama lawan penipuan

Postal Forum lancar Parcel Shield sempena Hari Kurier Negara 2026 bagi memperkukuh kerjasama industri pos, kurier dan e-dagang menangani penipuan bungkusan.

SHAH ALAM: Satu inisiatif antipenipuan Parcel Shield yang diterajui Postal Forum, dilancarkan hari ini bertujuan memperkukuh kerjasama industri pos, kurier dan e-dagang dalam menangani ancaman penipuan berkaitan bungkusan.

Inisiatif diterajui badan kawal selia kendiri dilantik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu dilancarkan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil sempena sambutan Hari Kurier Negara 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC) di sini.

Postal Forum dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu diperkenalkan susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap ancaman penipuan berkaitan bungkusan termasuk penipuan pembayaran semasa penghantaran (COD), notifikasi penghantaran palsu, cubaan pancingan data (phishing) dan penyamaran sebagai syarikat kurier yang sah.

“Kegiatan ini bukan sahaja mendedahkan pengguna kepada risiko kerugian kewangan, malah turut menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan pos, kurier dan e-dagang yang sah,” menurut kenyataan itu.

Antara teras utama Parcel Shield ialah Kumpulan Kerja Parcel Shield (PSWG) yang berperanan sebagai platform khusus bagi perkongsian maklumat, penyaluran amaran awal dan penyelarasan langkah pencegahan dalam menangani ancaman penipuan.

Kumpulan kerja itu kini dianggotai 14 organisasi berdaftar, iaitu ABX Express, City-Link Express, DHL eCommerce, GD Express, J&T Express, MTR Freight, Pos Malaysia, SF Global Express, Skynet Worldwide, SPX Express, Teleport, TikTok Shop, United Parcel Service (UPS) dan Mudah.my.

“Melalui perkongsian maklumat dan amalan terbaik, PSWG berperanan memperkukuh kesiapsiagaan industri dalam mengenal pasti dan menangani risiko penipuan dalam ekosistem penghantaran,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Parcel Shield berperanan meningkatkan kesedaran serta perlindungan pengguna menerusi maklumat yang diperoleh melalui PSWG akan digunakan bagi menghasilkan hebahan amaran penipuan kepada orang awam dan disebarkan melalui pelbagai saluran komunikasi.

“Hebahan ini akan mengetengahkan taktik penipuan terkini bagi membantu pengguna mengenal pasti dan mengelakkan ancaman itu sebelum menjadi mangsa.

“Pengguna turut digalakkan untuk mengikuti hebahan amaran ini serta berkongsi maklumat tersebut dengan ahli keluarga dan rakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Fahmi menerusi kenyataan sama berkata PSWG akan menjadi benteng yang mantap buat pengguna serta memperkukuh integriti industri pos dan kurier dalam menghadapi ancaman itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Postal Forum Nurhafizah Hanifah berkata menerusi inisiatif itu, pihaknya akan terus menyalurkan maklumat agar pengguna sentiasa selangkah di hadapan bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan bungkusan.

“Setiap rakyat Malaysia seharusnya dapat menerima notifikasi penghantaran, membuat pembayaran atau membuka pintu kepada penghantar kurier tanpa rasa takut.

“Parcel Shield membawa dua mesej yang jelas kepada sindiket penipuan bahawa industri kini bersatu, kami berkongsi maklumat risikan dan akan menutup setiap ruang kelemahan yang cuba dieksploitasi manakala kepada pengguna anda tidak bersendirian,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved