Aktiviti penyelenggaraan pelantar minyak merosot, PAT Dayang jatuh 58.6% pada 3QFY26

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 5:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Aktiviti penyelenggaraan pelantar minyak merosot, PAT Dayang jatuh 58.6% pada 3QFY26 Image from: Aktiviti penyelenggaraan pelantar minyak merosot, PAT Dayang jatuh 58.6% pada 3QFY26 liza19/11/2026 - 17:23 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov – Dayang Enterprise Holdings Berhad mencatatkan penurunan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 58.6% kepada RM39.58 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (Q3FY26), berbanding RM95.54 juta dalam tempoh sama tahun lalu ekoran pengurangan aktiviti penyelenggaraan pelantar minyak serta kadar penggunaan kapal yang lebih rendah.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu berkata, hasil bagi suku berkenaan turut merosot 46% kepada RM165.25 juta berbanding RM305.77 juta sebelumnya.

 

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula susut 62% kepada RM51.08 juta daripada RM135.10 juta pada Q3FY25.

 

“Penurunan hasil terutama disebabkan kadar penukaran buku tempahan kepada kerja sebenar yang lebih rendah dalam segmen penyelenggaraan bahagian atas pelantar minyak berikutan pengurangan arahan kerja dan panggilan kontrak daripada syarikat minyak utama,” katanya.

 

Kadar penggunaan kapal turun kepada 58%

Prestasi suku ketiga turut terjejas apabila kadar penggunaan kapal kumpulan menurun kepada 58% berbanding 80% dalam suku sama tahun lalu.

 

Dayang berkata, kumpulan turut merekodkan pengurangan ketara dalam pendapatan sewaan kapal kepada pihak ketiga, selain pendapatan sampingan yang lebih rendah, khususnya daripada perkhidmatan katering serta kerja membawa kapal ke lokasi projek dan mengeluarkannya selepas kerja selesai.

 

“Selain faktor penurunan hasil, keuntungan sebelum cukai turut terjejas berikutan ketiadaan keuntungan bersih RM10.2 juta daripada penurunan rosot nilai instrumen kewangan yang direkodkan dalam suku sama tahun lalu. Secara keseluruhan, keuntungan sebelum cukai kumpulan berkurangan RM84 juta atau 62% kepada RM51.08 juta pada Q3FY26,” katanya.

 


PAT sembilan bulan susut 52.3%

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY26), hasil Dayang merosot 36.9% kepada RM458.78 juta berbanding RM726.94 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

PAT turut berkurangan 52.3% kepada RM90.88 juta daripada RM190.42 juta, manakala keuntungan sebelum cukai susut 52.9% kepada RM127.22 juta berbanding RM269.89 juta sebelumnya.

 

Prestasi bertambah baik berbanding suku kedua

Bagaimanapun, prestasi Dayang menunjukkan peningkatan apabila dibandingkan dengan suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (Q2FY26).

 

Hasil meningkat 2.5% kepada RM165.25 juta berbanding RM161.18 juta pada suku sebelumnya, manakala PAT bertambah 15.7% kepada RM39.58 juta daripada RM34.22 juta.

 

Keuntungan sebelum cukai turut meningkat 9.1% kepada RM51.08 juta berbanding RM46.83 juta pada Q2FY26, disumbangkan peningkatan jumlah arahan kerja yang diterima dan dilaksanakan di bawah kontrak penyelenggaraan bahagian atas pelantar minyak serta pendapatan faedah lebih tinggi daripada penempatan lebihan dana.

 

Aktiviti industri dijangka perlahan hingga separuh pertama 2027

Mengulas prospek, Dayang berkata, aktiviti perniagaan dijangka kekal perlahan dalam tempoh terdekat apabila industri memasuki musim monsun, meskipun persekitaran harga minyak kekal relatif stabil.

 

Kumpulan menjangkakan tahap aktiviti industri terus sederhana sepanjang separuh pertama 2027 berikutan ketidaktentuan pasaran dan corak perbelanjaan pelanggan yang lebih berhati-hati.

 

Sebarang pemulihan dijangka berlaku secara beransur-ansur dengan kemungkinan peningkatan menjelang separuh kedua 2027, bergantung kepada keadaan pasaran serta masa penganugerahan projek.

 

Walaupun berdepan persekitaran operasi yang lebih perlahan, Dayang berkata, keterlihatan pendapatannya masih disokong buku tempahan kontrak sedia ada bernilai kira-kira RM4.66 bilion yang menyediakan tahap kepastian hasil bagi tempoh jangka pendek hingga sederhana.

 

Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan peluang kontrak baharu dan menambah semula buku tempahan, selain melaksanakan pengurusan kos secara berhemah serta mengekalkan disiplin operasi dalam menghadapi keadaan pasaran semasa. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved