liza10/11/2026 - 10:51 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov – Peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) sebanyak 8% dan penurunan kos pengeluaran dijangka menjadi pemacu utama peningkatan keuntungan TSH Resources Berhad pada suku ketiga 2026, meskipun keadaan cuaca kering di Indonesia mula menimbulkan kebimbangan terhadap prospek hasil ladangnya.
RHB Research menganggarkan keuntungan bersih teras kumpulan itu meningkat kepada RM55 juta hingga RM60 juta bagi suku ketiga 2026, berbanding suku sebelumnya dan tempoh sama tahun lalu.
Firma penyelidikan itu berkata peningkatan pengeluaran dijangka membantu kumpulan mengawal kos bagi setiap tan CPO, sekali gus menyokong margin keuntungan dalam tempoh berkenaan.
RHB Research juga menjangkakan pengeluaran CPO TSH meningkat 8% berbanding suku sebelumnya dan 6.5% tahun ke tahun pada suku ketiga, manakala pengeluaran isirung sawit (PK) masing-masing meningkat 7.2% dan 4.3%.
“Kenaikan pengeluaran itu turut disokong pergerakan harga komoditi yang lebih baik apabila harga CPO meningkat 1% suku ke suku dan 6% tahun ke tahun, sementara harga PK naik 5% tahun ke tahun.
“Dalam masa sama, kami menyasarkan kos pengeluaran seunit turun 3.7% kepada RM1,650 satu tan pada FY2026, sebelum kekal pada paras tersebut pada FY2027,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Sasaran itu bergantung kepada peningkatan kadar perahan minyak (OER) dan kadar perahan isirung sawit, selain penggunaan baja yang lebih rendah ketika keadaan cuaca kering.
Bagaimanapun, tekanan kos tenaga menyebabkan RHB Research menyemak semula andaian kos pengeluaran bagi tempoh FY2026 hingga FY2028.
Cuaca kering jadi cabaran
Di sebalik jangkaan peningkatan keuntungan, keadaan cuaca di Kalimantan, Indonesia, menjadi antara risiko utama yang diperhatikan RHB Research.
Wilayah itu merangkumi kira-kira dua pertiga daripada keluasan tanah perladangan TSH di Indonesia dan mengalami taburan hujan rendah serta tidak menentu sejak Julai lalu.
Kekurangan air mula memberi tekanan kepada pokok kelapa sawit, manakala pengeluaran buah tandan segar (BTS) kumpulan itu sehingga September 2026 sudah susut 2.2% tahun ke tahun.
Walaupun pengurusan TSH menjangkakan pengeluaran dapat pulih dan ditutup hampir tidak berubah bagi keseluruhan FY2026, RHB Research lebih berhati-hati berikutan risiko fenomena El Niño.
Firma itu mengunjurkan pengeluaran BTS merosot 2.1% pada FY2026 dan 2.7% pada FY2027, berbeza daripada sasaran pengurusan yang menjangkakan pertumbuhan 5% pada FY2027 sekiranya taburan hujan kembali normal.
RHB kekalkan saranan beli
Baru-baru ini TSH mengesahkan tiada kejadian kebakaran di seluruh kawasan operasinya serta tiada kaitan operasi atau rantaian bekalan dengan 10 entiti yang dinamakan dalam notis pencegahan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura berhubung jerebu rentas sempadan.
Bagaimanapun, pindaan undang-undang jerebu Singapura yang meningkatkan penalti maksimum kepada SGD1 juta sehari, dengan had keseluruhan SGD20 juta, menambah risiko kawal selia sekiranya sebarang kaitan dengan kebakaran atau rantaian bekalan dikenal pasti.
Mengambil kira perubahan andaian kos dan kadar pertukaran mata wang, RHB Research menyemak unjuran keuntungan FY2026 naik 1.2%, FY2027 turun 2.7% dan FY2028 naik 1.4%.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham TSH Resources, tetapi menurunkan harga sasaran kepada RM1.40 daripada RM1.45, berdasarkan penilaian 12 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY2027. - DagangNews.com





