liza10/11/2026 - 18:29 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov – Hup Seng Industries Berhad mencatatkan penurunan hasil sebanyak 7% kepada RM98.7 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding RM105.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu, susulan permintaan biskut yang lebih rendah dalam pasaran domestik.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan pengeluar biskut itu berkata jualan domestik merosot 6% atau RM5.4 juta merangkumi semua saluran pengedaran manakala jualan eksport turut menyusut 8% atau RM1.6 juta, terutama dari Indonesia, Myanmar, Mauritius dan Amerika Syarikat.
“Penurunan hasil itu turut memberi kesan kepada keuntungan kumpulan apabila keuntungan sebelum cukai (PBT) susut hampir 11% kepada RM18.33 juta berbanding RM20.68 juta bagi suku ketiga 2025.
“Keuntungan bersih pula berkurangan 9% kepada RM14.03 juta daripada RM15.47 juta sebelumnya manakala keuntungan operasi turun 11% kepada RM18.34 juta berbanding RM20.69 juta,” katanya.
Harga bahan mentah bantu kekalkan keuntungan sembilan bulan
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2026, hasil Hup Seng turun 2% kepada RM275.89 juta berbanding RM282.26 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, keuntungan bersih meningkat sedikit kepada RM34.95 juta berbanding RM34.58 juta, manakala keuntungan sebelum cukai hampir tidak berubah pada RM46.33 juta berbanding RM46.38 juta.
Menurut kumpulan itu, penurunan hasil bagi tempoh berkenaan disebabkan jualan domestik yang merosot 4% atau RM9.2 juta terutamanya daripada semua saluran pengedaran kecuali peruncitan.
Sebaliknya, jualan eksport meningkat 5% atau RM2.8 juta, disumbangkan terutamanya oleh pasaran Myanmar, Thailand, Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura.
Hup Seng berkata harga yang lebih menggalakkan bagi beberapa bahan mentah sepanjang tahun membantu mengekalkan keuntungan sebelum cukai hampir setara dengan tempoh sama tahun sebelumnya, meskipun hasil keseluruhan lebih rendah.
Prestasi bertambah baik berbanding suku kedua
Bagaimanapun, prestasi kumpulan menunjukkan peningkatan apabila dibandingkan dengan suku kedua 2026. Hasil meningkat 15% kepada RM98.70 juta berbanding RM85.98 juta pada suku sebelumnya, manakala keuntungan operasi naik 32% kepada RM18.34 juta daripada RM13.86 juta.
Keuntungan sebelum cukai turut meningkat 32% kepada RM18.33 juta berbanding RM13.86 juta, sementara keuntungan bersih melonjak 36% kepada RM14.03 juta daripada RM10.34 juta.
Menurut Hup Seng, peningkatan hasil itu terutama disumbangkan oleh pertumbuhan jualan menerusi hampir semua saluran dalam pasaran domestik kecuali Malaysia Timur.
Tunai hampir RM97 juta, cadang dividen 2 sen
Dari segi kedudukan kewangan, Hup Seng mencatatkan tunai dan baki bank berjumlah RM96.85 juta setakat 30 September 2026 berbanding RM83.75 juta pada 31 Disember 2025.
Kumpulan itu juga tidak mempunyai pinjaman dan sekuriti hutang pada akhir tempoh pelaporan, manakala nisbah penggearan menurun kepada 40% berbanding 50% pada akhir Disember 2025 disebabkan pengurangan pemiutang perdagangan dan lain-lain.
Sementara itu, lembaga pengarah mengesyorkan pembayaran dividen interim ketiga satu peringkat sebanyak dua sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026. Tarikh kelayakan dividen akan diumumkan kemudian.
Bagi prospek, Hup Seng berkata sektor pembuatan biskut kekal kompetitif, selain berdepan perbelanjaan pengguna yang berhati-hati serta ketidaktentuan berterusan dalam kos bahan mentah dan rantaian bekalan.
Bagi mempertahankan margin keuntungan dan bahagian pasaran, kumpulan itu akan terus memberi tumpuan kepada kawalan kos yang ketat serta meningkatkan kecekapan pengeluaran.
Di pasaran antarabangsa, Hup Seng akan terus menyokong pengedarnya di luar negara bagi mengekalkan pertumbuhan jumlah jualan, di samping mengamalkan pengurusan berhemat dalam segmen domestik dan eksport untuk menghadapi cabaran operasi sepanjang baki tahun kewangan. - DagangNews.com






