
Aktiviti Silat Di Institusi Pendidikan Disatukan Di Bawah Inisiatif Pendekar MADANI
BUKIT MERTAJAM, 16 Sept (Bernama) — Kerajaan akan memperkasakan aktiviti silat di negara ini menerusi penyelarasan di peringkat sekolah, politeknik, Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah inisiatif Pendekar MADANI.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyelarasan itu penting bagi membentuk asas perpaduan, disiplin diri dan jati diri dalam kalangan generasi muda, sejajar dengan nilai MADANI yang menjadi tonggak pentadbiran negara.
Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan meluluskan peruntukan RM2 juta tahun ini untuk menggerakkan inisiatif Pendekar MADANI bagi menyelaraskan kegiatan semua pertubuhan silat di negara ini.
“Seni pertahankan diri ini bukan untuk bermegah, bukan untuk angkuh, bukan untuk sombong tetapi untuk melatih anak-anak bangsa kita dan kita akan pastikan semua sekolah mendukung semangat Pendekar MADANI ini, diikuti di politeknik, IPG dan IPT.
“Kita akan hidupkan aktiviti ini sebagai suatu kegiatan yang menyatukan semangat anak-anak muda dengan satu matlamat iaitu mengangkat martabat, harkat dan darjat bangsa ini,” katanya ketika berucap pada Himpunan Pendekar MADANI di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.
Sumber: Bernama
The post Aktiviti Silat Di Institusi Pendidikan Disatukan Di Bawah Inisiatif Pendekar MADANI appeared first on Siakap Keli.



