Rumah SMJ bawa sinar baharu

14 Sep 2025 • 11:13 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SANDAKAN: Tiga keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Gum-Gum kini mampu menarik nafas lega apabila menerima rumah baharu di bawah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat termiskin di Sabah.

Penyerahan kunci rumah berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik Datuk Jaffari Waliam dalam satu majlis ringkas di tiga kampung terlibat iaitu Kampung Sungai Kapor, Kampung Kitagas dan Kampung Garinono.

Mereka yang menerima manfaat program ini ialah Amandi Asmat, Saharudin Abdul Kadir serta Sanah @ Kasema Saat.

Ketiga-tiga rumah berkenaan dibina oleh kerajaan dengan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) selaku agensi pelaksana projek.

Jaffari berkata penyerahan rumah terbabit adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Program Rumah Mesra SMJ ini adalah satu usaha nyata kerajaan untuk memastikan rakyat yang memerlukan mendapat tempat tinggal lebih selesa, selamat dan teratur.

“Dengan adanya rumah baharu ini penerima dapat memulakan kehidupan dengan lebih baik bersama keluarga masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu Jaffari menyatakan kejayaan membina dan menyerahkan rumah kepada rakyat termiskin di Gum-Gum adalah hasil kesungguhan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.

Menurutnya Kerajaan Negeri akan terus memperluaskan pelaksanaan program sama ke seluruh Sabah agar lebih ramai rakyat dapat merasai nikmat pembangunan yang seimbang.

“Kita mahu setiap rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang dan lokasi menikmati manfaat pembangunan.

“Rumah Mesra SMJ bukan sekadar rumah tetapi lambang kepedulian kerajaan terhadap rakyat,” jelasnya.

Majlis penyerahan turut disaksikan oleh Penolong Jurutera Jabatan Pembangunan Luar Bandar MPS Ronny Andrew Ipo.