KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menafikan dirinya mempunyai kaitan dengan mana-mana pemimpin, sebaliknya menegaskan beliau kekal berpegang kepada prinsip parti.
Menurutnya, ada pihak yang melabelkannya sebagai ‘budak catur’ Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Saya nak bagi tahu di pentas keramat ini, depan semua orang, saya ini bukan budak catur, bukan budak Presiden Datuk Seri Zahid Hamidi, bukan budak catur Tokmat Hassan, bukan budak KJ.
"Saya ialah ABU. Aku Budak UMNO, dulu kini dan selamanya," katanya ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dr Muhamad Akmal menegaskan bahawa ulang tahun UMNO yang ke-80 bukanlah titik noktah, sebaliknya ia merupakan peringatan bahawa perjuangan parti tersebut masih panjang.
"Pilihan raya semakin hampir dan medan perang sebenar sedang menanti, maka selepas hari ini, jangan ada lagi yang leka. Jangan ada lagi yang selesa dan jangan ada lagi yang berpecah sesama sendiri. Kalau kita sayang UMNO, kita mesti berpegang teguh. Kalau kita mahu UMNO terus hidup, kita mesti siap siaga," katanya.
Beliau berkata, kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) akan datang mesti menjadi hadiah paling bermakna kepada ulang tahun UMNO ke-80.
"Bukan hadiah dalam bentuk kek, kain rentang atau tepukan, tetapi hadiah dalam bentuk mandat rakyat yang kita menangi semula.
"Maka kepada seluruh ahli UMNO, rapatkan saf, kuatkan jentera, turun ke medan dan yakinkan rakyat bahawa UMNO masih parti yang paling layak memimpin perjuangan bangsa," katanya.
Justeru katanya, kepada anak muda, jangan pernah rasa malu untuk berdiri dan berkata 'Aku Budak UMNO' (ABU).





