UMNO perlu pendekatan lebih berkesan tangani keresahan Melayu - Wan Rosdy

LocalPolitics
2 May 2026 • 7:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UMNO perlu pendekatan lebih berkesan tangani keresahan Melayu - Wan Rosdy
Wan Rosdy ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - UMNO perlu mengambil pendekatan yang lebih proaktif untuk menangani keresahan rakyat terutamanya orang Melayu yang berdepan dengan beberapa isu utama membabitkan ekonomi, pendidikan dan agama.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perubahan landskap politik dan sikap pengundi menuntut UMNO menyesuaikan pendekatan agar kekal relevan sebagai parti utama orang Melayu.

“Justeru, persoalan besar yang perlu kita rungkaikan hari ini bukan sekadar tentang apa yang telah kita lakukan, tetapi ke mana hala tuju kita selepas ini.

“Bagaimanakah wajah UMNO apabila menjangkau usia 100 tahun dan apakah peranan kita dalam memastikan parti ini terus relevan serta menjadi sandaran masa depan bangsa?” katanya ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia di sini pada Sabtu. 

Wan Rosdy berkata, UMNO memerlukan strategi yang lebih segar dan dinamik berikutan keadaan realiti politik kini tidak lagi berada dalam kedudukan selesa seperti sebelum ini.

Ujarnya, kegagalan menyesuaikan diri dengan cabaran semasa hanya akan menyebabkan parti terus ketinggalan dalam persaingan politik.

Tambah beliau, usaha memulihkan keyakinan rakyat perlu menjadi keutamaan selain memperkukuh jentera parti dan penguasaan dalam komunikasi moden termasuk media sosial.

“Jika kita benar-benar serius untuk melihat UMNO mencapai usia 100 tahun dan terus relevan, maka kita mesti berani melakukan perubahan besar,” katanya.