Kekuatan UMNO kini terhad, perlu strategi baharu untuk bangkit - Johari

LocalPolitics
2 May 2026 • 7:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kekuatan UMNO kini terhad, perlu strategi baharu untuk bangkit - Johari
Johari ketika berucap sdalam Konvensyen 80 Tahun UMNO di WTCKL pada Sabtu. FOTO: Mohd Halim Abdul Wahid

KUALA LUMPUR - UMNO perlu menerima hakikat bahawa kedudukan mereka kini bukan lagi sebagai parti dominan sebaliknya hanya memiliki kekuatan terhad yang memerlukan strategi baharu untuk kembali bangkit.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kesedaran tersebut penting bagi memastikan parti dapat menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik semasa yang semakin kompetitif.

“Kita perlu sedar tetapi (hakikatnya) tidak ada orang yang bangun sebelum sedar. Saya rasa dalam dewan ini kita seolah-olah berasa kita mempunyai kuasa mutlak. Hakikatnya kita hanya ada 26 kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Johari yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, parti itu kini berdepan cabaran besar susulan perubahan corak sokongan pengundi Melayu serta persepsi terhadap imej parti yang masih dalam proses pemulihan.

Beliau menjelaskan, realiti politik semasa menuntut UMNO untuk merangka pendekatan lebih segar dan relevan bagi mendapatkan semula kepercayaan rakyat.

“Ini semua adalah perkara yang perlu kita cari jalan penyelesaian bagaimana hendak bangkit. Kalau ikut sejarah mana-mana negara, untuk bangkit semula bukan perkara mudah,” ujarnya.

Johari turut mengakui persaingan politik semakin sengit dengan kemunculan parti baharu serta peralihan sokongan daripada parti tradisi sehingga menjejaskan kedudukan UMNO.

Menurutnya, perkara itu boleh diperhatikan apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil pemimpin dan penyokong UMNO.

“Kita juga lihat bagaimana Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) lahir daripada bekas pemimpin UMNO. Begitu juga dengan Pas yang turut menerima penyokong yang tidak lagi bersama kita.

“Akhirnya, keadaan ini menjadikan landskap politik semakin kompetitif. Semua ini berpunca daripada konflik dalaman yang berlaku dalam UMNO sendiri,” kata beliau lagi.