“Aku rasa berdosa!” -Akmal Saleh sedih, segera bantu keluarga hidup tanpa air & elektrik

15 Sep 2026 • 4:49 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kisah sebuah keluarga yang terpaksa hidup tanpa bekalan air dan elektrik di Merlimau mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Ada 3 kanak-kanak di rumah

Menerusi video yang dikongsikan di media sosial, Ketua Pemuda UMNO itu dilihat mengunjungi kediaman keluarga berkenaan yang mempunyai tiga anak kecil, termasuk seorang bayi berusia dua bulan.

Difahamkan, keluarga itu sudah dua minggu tidak mempunyai bekalan elektrik, manakala bekalan air pula terputus selepas gagal menjelaskan bil dalam tempoh yang lama.

Tunggakan bil elektrik keluarga tersebut berjumlah RM2,387.32, manakala tunggakan air pula sekitar RM5,000.

Dapat bekalan air dari bantuan jiran

Keadaan itu menyebabkan keluarga berkenaan terpaksa menggunakan lilin pada waktu malam dan mendapatkan bekalan air dengan bantuan jiran.

Lebih mengejutkan, Dr Akmal turut melihat sendiri keadaan rumah yang sebahagiannya tidak mempunyai bumbung.

Beliau kemudian menegur ketua keluarga tersebut kerana tidak datang berjumpa dengannya untuk memaklumkan masalah yang dihadapi.

“Kenapa kau tak datang jumpa aku?. Malulah aku. Ini pun aku dapat tahu daripada orang. Aku ini kalau kau duduk seorang, aku tak kisah. Tapi ini anak kecil lagi, ada ‘baby’ dua bulan.
“Zalim sangat rasa diri saya, ada orang duduk gelap macam ini, ada budak, anak kecil berusia dua bulan. Tapi engkau kena janji dengan aku, kau jangan tak kerja.
“Kalau aku tahu kau tak kerja, esok aku cari kau,” katanya.

Image from: “Aku rasa berdosa!” -Akmal Saleh sedih, segera bantu keluarga hidup tanpa air & elektrik

Sedih lihat keadaan keluarga tersebut

Dalam video sama, Dr Akmal turut meluahkan rasa sedih melihat keadaan keluarga tersebut dan mahu rumah mereka turut dibaiki.

“Aku rasa berdosa. Tempat lain ada lampu, tapi rupanya kat kawasan aku ada seorang tak ada lampu. Rumah engkau ada elektrik, rumah orang ini tak ada elektrik.
“Rumah kau ada air, tapi ada seorang ini tak ada air. Esok, itu sebab aku tak boleh masuk syurga,” katanya.

Jelaskan tunggakan dengan gaji sendiri

Dr Akmal kemudiannya dilihat membantu melunaskan tunggakan bil elektrik serta menyelesaikan masalah bekalan air keluarga terbabit.

Beliau turut menjelaskan bantuan itu bukan menggunakan wang peruntukan, sebaliknya daripada gajinya sendiri.

“Yang saya bayar ini bukan duit peruntukan. Ini duit gaji saya sendiri. Jadi, bila duit gaji, aku anggap kau hutang.
“Cara kau nak bayar hutang, kau kena jaga anak kau, kau jangan berhenti kerja. Ini jumlah hutang kau, RM2,387.32,” katanya sambil memberi pesan kepada ketua keluarga itu.

Image from: “Aku rasa berdosa!” -Akmal Saleh sedih, segera bantu keluarga hidup tanpa air & elektrik

Sumber: Facebook Akmal Saleh

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved