
PETALING JAYA – Selepas ditegur Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, Ketua Bahagian UMNO Sepang, Datuk Noorazli Said tampil memohon maaf susulan ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang didakwa mempersendakan agama lain.
Noorazli dalam satu kenyataan berkata, kisah yang dikongsikannya ketika berucap pada perhimpunan itu hanya digunakan sebagai analogi untuk mengambil pengajaran mengenai kepentingan fokus, ketekunan dan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu matlamat.
Katanya, penyampaian tersebut sama sekali tidak bertujuan menghina, memperlekeh atau mempersendakan mana-mana individu, kepercayaan mahupun agama.
“Saya memahami bahawa apabila sesuatu cerita menyentuh figura atau rujukan keagamaan, ia boleh ditafsirkan secara berbeza dan menimbulkan salah faham, khususnya dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan.
“Sekiranya penyampaian saya itu telah menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian, saya dengan penuh rendah hati memohon maaf,” katanya.
Menurut Noorazli, kontroversi tersebut turut menjadi pengajaran kepadanya supaya lebih berhati-hati dalam memilih analogi dan menyampaikan pandangan pada masa akan datang.
“Saya menghormati setiap agama dan kepercayaan serta sentiasa menjunjung keharmonian, sikap saling menghormati dan persefahaman yang menjadi asas penting kepada kehidupan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.
Terdahulu, Akmal menggesa Noorazli memohon maaf secara terbuka selain menegaskan bahawa agama bukan perkara yang boleh dijadikan bahan jenaka.
“Bayangkan jika lawak paderi yang diungkapkan ini digantikan dengan imam dan orang Islam, maka pastinya kita juga akan marah. Jika kita marah apabila diperlakukan sebegitu, kita tidak seharusnya melakukan perkara sama kepada orang lain,” katanya.
Akmal turut menegaskan kenyataan Noorazli itu tidak menggambarkan pendirian UMNO, sebaliknya merupakan pandangan peribadinya.
Desakan sama dibuat Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak yang menyifatkan jenaka berunsur seksual membabitkan biarawati dan paderi Katolik sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima tanpa mengira niat di sebaliknya. – KOSMO! ONLINE
The post Noorazli dengar cakap Akmal, mohon maaf persenda agama lain appeared first on Kosmo Online.






