
SEPANG: Polis sedang mengesan waris atau ahli keluarga seorang lelaki yang ditemukan maut tanpa sebarang dokumen pengenalan diri di dalam ruangan simpanan tayar sebuah pesawat di Terminal KLIA 2, di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan mengikut Prosedur Kematian Mengejut (SDR) pada 27 Ogos lalu berhubung penemuan mayat berkenaan.
Menurut beliau, usaha mengesan waris atau ahli keluarga mangsa sedang giat dijalankan bagi membantu proses pengecaman identiti serta melengkapkan siasatan lanjut.
“Sehubungan itu, pihak polis sedang berusaha untuk mengesan waris atau ahli keluarga mangsa bagi membantu proses pengecaman serta siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, orang ramai yang mempunyai ahli keluarga atau kenalan yang dilaporkan hilang atau gagal dihubungi sejak 19 Ogos lalu diminta tampil membantu siasatan.
Katanya, bantuan juga diperlukan khususnya daripada individu yang percaya ahli keluarga atau kenalan mereka mempunyai kaitan dengan atau pernah berada di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ini.
Ravi berkata, orang ramai yang mempunyai ahli keluarga atau kenalan yang dilaporkan hilang atau gagal dihubungi sejak 19 Ogos 2026, khususnya yang dipercayai mempunyai kaitan atau pernah berada di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), diminta untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan.
Katanya, oang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di talian 03-87768926.
Mereka juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd. Ridzuan Mohd. Rosli di talian 011-14453057 atau Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Nicholas anak Idel di talian 018-7017291 bagi membantu siasatan. – UTUSAN
The post Mayat lelaki ditemukan dalam ruang tayar pesawat, polis kesan waris appeared first on Utusan Malaysia.






