hamden07/08/2026 - 10:59 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Ogos - Sentral REIT dilihat mampu menawarkan pulangan yang menarik kepada pelabur menerusi hasil dividen yang tinggi serta asas operasi yang stabil, sekali gus mendorong RHB Research mengekalkan saranan 'Beli' dengan harga sasaran RM0.87 sesaham.
Dalam nota penyelidikan, firma penyelidikan berkata harga sasaran itu membayangkan potensi kenaikan kira-kira 19% daripada harga semasa, selain menawarkan unjuran hasil dividen sekitar 9% bagi tahun kewangan berakhir 2026 (FY2026).
Menurutnya lagi, prestasi Sentral REIT dijangka terus disokong oleh kadar penghunian yang stabil, tempoh tamat pajakan yang masih terkawal serta semakan kadar sewa yang kekal positif walaupun sederhana.
Katanya, dianggarkan kekosongan di SB2 ketika ini mengurangkan pendapatan tahunan sekitar RM4 juta hingga RM5 juta atau kira-kira 6% daripada unjuran keuntungan FY2026.
"Bagaimanapun, ruang tersebut berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan mulai FY2027 sekiranya berjaya diisi semula secara berperingkat," ujarnya lagi.
Firma penyelidikan itu turut memantau risiko pembaharuan pajakan di Menara Shell susulan penyusunan operasi oleh salah satu penyewa utama.
Menurut RHB Research, risiko itu dilihat masih terkawal memandangkan kontrak pajakan sedia ada kekal berkuat kuasa sehingga FY2027.
"Kami menganggarkan penyewa berkenaan mewakili kira-kira 14% daripada keluasan boleh disewa bersih (NLA) portfolio dan menyumbang sekitar 16% kepada hasil Sentral REIT," ujarnya.
RHB Research berkata,kedudukan tunai berjumlah RM177.7 juta memberi fleksibiliti kepada Sentral REIT untuk melaksanakan pengambilalihan aset baharu bagi mempelbagaikan portfolio atau mengurangkan paras hutang.
Firma penyelidikan itu turut menjangkakan strategi kitar semula aset yang berpotensi dilaksanakan pada masa hadapan mampu memperkukuh daya tahan portfolio serta menyokong pertumbuhan agihan pendapatan kepada pemegang unit dalam jangka panjang.
Sehubungan itu, unjuran pendapatan dikekalkan tanpa perubahan, dengan harga sasaran RM0.87 sesaham yang diperoleh menerusi kaedah Dividend Discount Model (DDM) dilihat menawarkan pulangan yang masih menarik berbanding REIT pejabat lain di pasaran, meskipun prospek sektor pejabat kekal sederhana.
Prestasi kewangan Sentral REIT bagi suku kedua FY2026 adalah sejajar dengan jangkaan apabila pendapatan teras bagi separuh pertama tahun itu meningkat 0.4% kepada RM39.9 juta, bersamaan 51% daripada unjuran pendapatan setahun penuh.
Lembaga pengarah turut mengisytiharkan agihan pendapatan (DPU) separuh tahunan sebanyak 3.17 sen sesaham, meningkat sedikit berbanding tempoh sama tahun lalu dengan nisbah pembayaran kira-kira 95%. - DagangNews.com






