JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan sejumlah bungkusan plastik hitam mengandungi kitab al-Quran dan pelbagai buku berkaitan agama Islam termasuk Surah Yasin di tepi jalan di kawasan Ulu Tiram di sini pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Victor Genason berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan bungkusan berkenaan kira-kira jam 7 pagi.
**media[3721832]**
Menurutnya, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati terdapat sejumlah bungkusan plastik hitam yang mengandungi kitab al-Quran dan beberapa buku agama Islam.
"Susulan penemuan itu, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan bagi mengenal pasti individu yang terlibat serta motif kejadian berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.
**media[3721834]**
"Kerjasama masyarakat amat dihargai bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan teliti dan adil.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Seri Alam di talian 07-3864222," katanya.





