SABAK BERNAM - Inisiatif pertukaran al-Quran lama kepada naskhah baharu diperkenalkan bagi memastikan kitab suci yang rosak atau uzur dapat dilupuskan dengan cara lebih teratur.
Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, program itu juga bertujuan memupuk budaya membaca al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, usaha berterusan perlu dilakukan supaya kanak-kanak dididik membaca al-Quran sejak usia awal.
"Kita mahu anak-anak muda dan kanak-kanak seawal usia sudah pandai membaca al-Quran supaya kitab suci ini sentiasa berada dalam hati mereka.
"Ini adalah usaha berterusan untuk melahirkan generasi yang di dadanya sentiasa ada al-Quran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pertukaran al-Quran Lama kepada Baharu sempena Program Sinar Ramadan di Masjid Ma’Muniah Simpang Lima, Sungai Besar di sini pada Sabtu.
Pada program itu, sebanyak 500 naskhah al-Quran lama daripada kira-kira 40 masjid dan surau di daerah Sabak Bernam berjaya dikumpulkan.
Mohd Razlan berkata, umat Islam digalakkan sekurang-kurangnya membaca satu ayat al-Quran setiap hari sebagai amalan berterusan dalam kehidupan.
"Walaupun al-Quran itu sudah lama atau ada sedikit kerosakan tetapi masih boleh dibaca, bacalah. Jangan biarkan al-Quran itu tidak disentuh langsung.
"Apa yang penting ialah kita membudayakan amalan membaca al-Quran supaya kitab suci ini sentiasa dekat di hati umat Islam," katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan program berbentuk keagamaan dan kebajikan tidak wajar dipolitikkan kerana matlamat utamanya adalah memberi manfaat kepada masyarakat.
"Ada yang mengatakan program seperti ini dipolitikkan, tetapi pada pandangan saya itu tidak tepat.
"Kita sepatutnya mengetepikan perbezaan politik dan melihat perkara yang baik untuk masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wasanita), Datin Dr Norlaili Alias berkata, pemilihan Selangor sebagai lokasi projek perintis bagi inisiatif pelupusan al-Quran lama dibuat berikutan negeri itu mempunyai jumlah usahawan wanita paling ramai dalam persatuan berkenaan.
Beliau berkata, pemilihan itu juga bertepatan dengan sambutan Nuzul Quran selain bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kaedah pengurusan dan pelupusan al-Quran yang rosak dengan cara betul.
Menurutnya, berdasarkan data keahlian Wasanita, Selangor mencatatkan jumlah ahli paling tinggi termasuk usahawan yang dibimbing daripada peringkat mikro sehingga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta bersedia menembusi pasaran eksport.
"Ramai juga usahawan yang kami didik dari peringkat mikro sehingga SME dan sedia untuk eksport berasal dari negeri ini," tambahnya.
Beliau berkata, program berkenaan turut memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai cara mengendalikan serta melupuskan al-Quran lama yang rosak dengan betul.
"Selama ini kita hanya simpan al-Quran yang sudah koyak kerana bimbang berdosa jika dibuang begitu sahaja.
"Melalui program ini, masyarakat terutama generasi muda, pertengahan dan juga warga emas dapat belajar cara pelupusan yang betul serta menghormati kesucian kitab suci itu,” katanya.
Norlaili berkata, inisiatif itu juga diharap dapat diperluaskan ke seluruh negara sebagai usaha memelihara kesucian al-Quran serta meningkatkan kesedaran masyarakat.
Katanya, program itu juga merupakan antara usaha Wasanita untuk membawa pendekatan pendidikan dan penghayatan al-Quran kepada masyarakat bukan sahaja pada Ramadan tetapi sepanjang masa.
"Ini akan menjadi mandat kepada Wasanita untuk membawa usaha ini ke semua 14 negeri supaya kesedaran mengenai penjagaan dan pelupusan al-Quran dapat diperluaskan,” tambah beliau.


