Alam Maritim beli kenderaan kawalan jauh ROV bernilai RM13.27 juta, perkukuh segmen dasar laut

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2026 • 5:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Alam Maritim beli kenderaan kawalan jauh ROV bernilai RM13.27 juta, perkukuh segmen dasar laut Image from: Alam Maritim beli kenderaan kawalan jauh ROV bernilai RM13.27 juta, perkukuh segmen dasar laut hamden05/08/2026 - 17:51 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Alam Maritim Resources Berhad (AMRB) menerusi anak syarikat tidak langsung milik 50%, SWS, memperoleh sebuah kenderaan kawalan jauh (ROV) bernilai AS$3.24 juta (RM13.27 juta) bagi memperkukuh kapasiti perkhidmatan dasar laut, sekali gus meningkatkan daya saing kumpulan dalam memburu lebih banyak kontrak industri minyak dan gas (O&G).

 

Alam Maritim dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, SWS telah memeterai Perjanjian Pembelian dengan Deepinfar Ocean Technology Inc. pada 5 Ogos 2026 bagi pemasangan dan pembelian ROV tersebut.

 

Selain harga pembelian, kumpulan dijangka menanggung kira-kira RM500,000 lagi bagi kos penghantaran ROV ke Malaysia serta kerja-kerja mobilisasi aset itu ke atas kapal sebelum memulakan operasi.

 

Keseluruhan kos pemerolehan akan dibiayai sepenuhnya menerusi dana dalaman kumpulan.

 

Menurut Alam Maritim, pemerolehan itu selaras dengan strategi syarikat untuk memperkukuh segmen perkhidmatan dasar laut yang kekal menjadi penyumbang utama kepada prestasi kewangan kumpulan.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, segmen dasar laut menjana hasil sebanyak RM415.4 juta, mewakili 86.72% daripada keseluruhan hasil kumpulan sebanyak RM479.04 juta.

 

Sehingga 30 Jun 2026, baki nilai kontrak semasa dan buku tempahan bagi segmen tersebut dianggarkan berjumlah RM1.55 bilion.

 

rov
Antara ROV yang dikendalikan Alam Maritim.

 

Membida Lebih Banyak Kontrak Dasar Laut

Alam Maritim berkata, penambahan sebuah lagi ROV dijangka membolehkan kumpulan membida dan melaksanakan lebih banyak kontrak dasar laut, selain meningkatkan kecekapan operasi dengan keupayaan mengendalikan beberapa projek secara serentak di lokasi luar pesisir yang berbeza.

 

Pemerolehan itu juga dilihat dibuat pada masa yang tepat susulan peningkatan keyakinan pelanggan, vendor, institusi kewangan dan pihak berkepentingan lain selepas Alam Maritim berjaya keluar daripada status Amalan Nota 17 (PN17) pada 8 Jun 2026.

 

Selepas urus niaga itu dimuktamadkan, Alam Maritim akan memiliki sembilan unit ROV, termasuk tiga unit yang masih disewa daripada pihak ketiga.

 

Peningkatan aset milik sendiri itu dijangka mengurangkan kebergantungan terhadap penyewaan ROV daripada pihak ketiga, sekali gus memberi kawalan lebih baik terhadap penjadualan projek, meningkatkan kesiapsiagaan operasi serta mengurangkan kos penyewaan dalam jangka panjang.

 

Alam Maritim turut berpandangan armada ROV yang lebih besar akan mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam segmen perkhidmatan dasar laut serta meningkatkan daya saing bagi mendapatkan kontrak jangka panjang dan memperluaskan pangkalan pelanggan dalam industri huluan minyak dan gas.

 

Kumpulan berkata, strategi memberi tumpuan kepada perniagaan dasar laut sambil mengurangkan secara berperingkat operasi kapal sokongan luar pesisir (OSV) akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan mampan syarikat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved