hamden03/08/2026 - 09:58 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Ogos - Komitmen berterusan CelcomDigi Bhd dalam memperkukuh amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mampu meningkatkan daya tahan perniagaan serta menyokong penilaian jangka panjang syarikat.
Kesungguhan itu mendorong MBSB Research mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham syarikat itu dengan harga sasaran (TP) RM3.54 sesaham.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun tumpuan utama sejak penggabungan Celcom dan Digi adalah kepada penyepaduan operasi, CelcomDigi kekal konsisten melaksanakan agenda kelestarian menerusi strategi ESG lima tahun yang diperkenalkan pada 2024.
Menurutnya, strategi tersebut meletakkan sasaran untuk membina masyarakat digital yang lebih inklusif, mampan dan dipercayai, selain mengintegrasikan elemen kelestarian ke dalam strategi korporat serta operasi perniagaan.
"Kami berpandangan pelaksanaan strategi ini akan membolehkan CelcomDigi terus mengekalkan prestasi kukuh dalam penarafan ESG oleh agensi penarafan utama, sekali gus menyokong keyakinan pelabur terhadap prospek jangka panjang syarikat," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Ketika ini, CelcomDigi memperoleh penarafan 3.9 daripada FTSE4Good Bursa Malaysia Index dengan pencapaian maksimum empat bintang, skor 23.4 (Risiko Sederhana) daripada Morningstar Sustainalytics ESG Risk Rating, penarafan 'A' daripada MSCI, penarafan sukuk AAA/Stable oleh RAM Ratings serta pengiktirafan 4-Star Lister di bawah ESG Select List oleh UN Global Compact Network Malaysia, Brunei & Cambodia (UNGCMYB).
MBSB Research berkata, pencapaian tersebut membuktikan CelcomDigi terus mengekalkan pengiktirafan kukuh dalam aspek pengurusan kelestarian, tadbir urus iklim, amalan perniagaan bertanggungjawab dan inisiatif keterangkuman digital.
Bagaimanapun, penarafan MSCI syarikat diturunkan kepada 'A' daripada 'AA', yang dipercayai berpunca daripada perubahan metodologi penilaian baharu yang memberi penekanan lebih besar terhadap aspek privasi dan keselamatan data.
Penurunan Bukannya Kemerosotan Prestasi ESG
Menurut firma itu, penurunan berkenaan lebih disebabkan perbezaan dalam pendedahan maklumat dan bukannya kemerosotan prestasi ESG, justeru CelcomDigi berpotensi mendapatkan semula penarafan 'AA' selepas memperkukuh pendedahan berkaitan prestasi kelestarian dan pengurusan risikonya.
Strategi ESG CelcomDigi memberi tumpuan kepada empat keutamaan utama iaitu menyediakan akses digital yang inklusif dan selamat kepada rakyat Malaysia, membangunkan rantaian nilai yang mampan, memperkukuh budaya tadbir urus dan prestasi serta mengurus impak alam sekitar.
MBSB Research berkata, setiap keutamaan disokong oleh komitmen yang jelas, petunjuk prestasi utama (KPI) yang boleh diukur dan akauntabiliti pihak pengurusan yang dipantau secara berkala.
Dalam aspek alam sekitar, CelcomDigi berjaya mengurangkan pelepasan karbon gabungan Skop 1 dan Skop 2 sebanyak 4% sepanjang FY24 dan FY25 serta menyasarkan pengurangan 6% tahun ke tahun bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Usaha tersebut disokong menerusi pemodenan infrastruktur, peningkatan kecekapan tenaga, penggunaan inovasi hijau serta pengukuhan integriti data dan pelaporan.
Bagi aspek sosial pula, pelbagai inisiatif seperti program CelcomDigi S.A.F.E. Internet, bengkel kemahiran digital dan program pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah memberi manfaat kepada lebih 18 juta rakyat Malaysia menerusi kempen keselamatan siber, literasi digital serta pencegahan penipuan.
Syarikat itu juga memperkukuh perlindungan pengguna melalui penyelesaian keselamatan internet di peringkat rangkaian dan peranti, selain meneruskan pembangunan bakat digital tempatan menerusi Program Bakat Muda CelcomDigi.
Dalam aspek tadbir urus, CelcomDigi terus memperkukuh pengawasan Lembaga Pengarah, pengurusan risiko dan pematuhan selaras dengan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG), termasuk melalui peranan Jawatankuasa Tadbir Urus, Risiko dan Pematuhan (GRC).
Firma penyelidikan itu berpandangan pelaksanaan menyeluruh pelan hala tuju ESG tersebut bukan sahaja mengukuhkan reputasi korporat CelcomDigi, malah meningkatkan daya tahan operasi dan berpotensi menyokong penciptaan nilai yang mampan kepada pemegang saham dalam jangka panjang. - DagangNews.com






