Alasan ambil kawan, tiga pemandu kantoi bawa kereta sapu

LocalCars
25 Oct 2026 • 1:21 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Alasan ambil kawan, tiga pemandu kantoi bawa kereta sapu

GEORGE TOWN – Alasan mahu mengambil rakan antara helah yang diberikan pemandu kereta sapu, selepas dikesan menjalankan kegiatan membawa penumpang tanpa permit sah di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas di sini.

Bagaimanapun, alasan itu tidak menghalang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang daripada mengambil tindakan terhadap tiga kenderaan yang didapati melakukan kesalahan tersebut dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan bermula pukul 8 pagi tadi.

Pengarahnya, , Zulkifly Ismail berkata, sebanyak 12 kenderaan diperiksa dalam operasi tersebut dengan enam notis dikeluarkan terhadap tiga kenderaan yang didapati melakukan kesalahan.

Menurutnya, tindakan diambil mengikut Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 berkaitan kesalahan membawa penumpang tanpa permit yang sah.

“Operasi dijalankan berdasarkan risikan pihaknya dan maklumat orang awam berkaitan aktiviti kereta sapu yang dikesan di lokasi tumpuan pelancong dan pintu masuk utama negeri Pulau Pinang.

“Antara alasan yang diberikan pemandu ialah mereka datang untuk mengambil kawan atau kenalan. Itu alasan biasa yang kami terima,” katanya pada sidang akhbar di LTAPP di sini, tadi.

Katanya, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 24 Oktober lalu, sebanyak 1,056 kenderaan diperiksa kerana disyaki menjalankan kegiatan membawa penumpang tanpa permit sah.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 496 kenderaan telah diambil tindakan dengan 519 notis dikeluarkan,” katanya.

Zulkifly berkata, kegiatan pengangkutan penumpang secara tidak sah itu dipandang serius kerana boleh menjejaskan keselamatan pengguna selain mewujudkan persaingan tidak adil kepada pengusaha yang mematuhi undang-undang.

Menurutnya, setakat ini, kegiatan berkenaan dikesan melibatkan pemandu warga tempatan dan tiada tangkapan membabitkan pemandu warga asing dilakukan berkaitan kesalahan itu.

Beliau berkata, JPJ akan meneruskan pemantauan dan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pihak yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan penumpang secara komersial mematuhi syarat lesen, permit dan peraturan ditetapkan.

“Keselamatan penumpang tidak boleh dikompromi. Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengangkutan yang disyaki menyalahi undang-undang melalui saluran rasmi untuk tindakan lanjut,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

The post Alasan ambil kawan, tiga pemandu kantoi bawa kereta sapu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved