
GEORGE TOWN – Pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang disyaki terlibat dalam kemalangan maut yang mengorbankan dua rakan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, susur masuk Jambatan Pulau Pinang di sini, semalam direman dua hari, bermula hari ini.
Perintah reman terhadap pemuda yang berusia 23 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Hanisha S H Hamid di Mahkamah Majistret bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Terdahulu, suspek yang bekerja sebagai ejen hartanah itu tiba di mahkamah dalam keadaan kedua-dua tangan bergari, kira-kira pukul 8.50 pagi tadi.
Suspek diwakili peguam RSN Rayer.Turut hadir di mahkamah ialah beberapa ahli keluarganya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi semalam, mangsa, Mohamad Nazhif Faris Mohd. Fauzi, 22 dan Daniesha Hana Mohd. Hairul, 20, maut selepas motosikal yang mereka tunggang dirempuh sebuah kenderaan tidak dikenal pasti dari arah belakang di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, berhampiran susur ke Jambatan Pulau Pinang.
Semasa kejadian, kedua-dua mangsa yang berasal dari Padang Serai di Kedah itu dikatakan dalam perjalanan dari arah pusat bandar ke jambatan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad dilaporkan berkata, pemandu SUV ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, kira-kira pukul 1 tengah hari semalam. – KOSMO! ONLINE
The post Dua rakan maut: Pemandu SUV direman dua hari appeared first on Kosmo Online.






