
GEORGE TOWN – Pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang disyaki terlibat dalam kemalangan maut yang mengorbankan dua rakan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, susur masuk Jambatan Pulau Pinang di sini pagi tadi, menyerah diri di balai polis.
Lelaki tempatan berusia 23 tahun dan dari Bukit Jambul itu kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap pemuda terbabit mendapati dia negatif dadah.
“Suspek akan direman esok pagi bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian itu,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, katanya lagi, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 22 tahun maut akibat kecederaan parah pada kepala dan leher, manakala pembonceng perempuan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan dua rakan, Mohamad Nazhif Faris Mohd. Fauzi, 22 dan Daniesha Hana Mohd. Hairul, 20, dilaporkan maut apabila motosikal yang mereka tunggang dipercayai dirempuh dari arah belakang dalam kejadian langgar lari di susur masuk Jambatan Pulau Pinang di sini, awal pagi tadi.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, kira-kira pukul 4 pagi. Sebelum kejadian, mereka yang berasal dari Padang Serai di Kedah ketika itu dalam perjalanan dari arah pusat bandar ke jambatan. -KOSMO! ONLINE
The post Dua rakan maut: Pemandu SUV dari Bukit Jambul serah diri appeared first on Kosmo Online.





