MELAKA – Pengarah Media Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Albert Tei hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada Jumaat bagi memberikan keterangan berhubung laporan polis terhadapnya.
Beliau berkata, kehadirannya pada jam 11 pagi itu adalah bagi membantu siasatan susulan beberapa laporan polis yang dibuat oleh ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung kenyataannya mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, beliau menerima panggilan daripada pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Melaka Tengah pada Khamis kira-kira jam 5 petang bagi membantu siasatan.
"Saya hadir ke sini untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan.
"Saya ingin menegaskan bahawa ucapan yang saya keluarkan ketika ceramah kempen PRN Melaka pada 7 November lalu di Dataran Madani Ayer Keroh Height, Melaka itu mempunyai asas berdasarkan perkara yang pernah diputuskan oleh mahkamah.
"Kenyataan berkenaan dibuat dengan tujuan memberikan peringatan kepada generasi muda supaya mengambil iktibar daripada sejarah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membuat satu laporan polis berhubung kenyataan yang didakwa mengandungi unsur penghinaan dan tuduhan peribadi terhadap Perdana Menteri.
Timbalan Ketua Penerangan AMK Pulau Pinang, Syamer Suhaimi berkata, laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara pada malam Selasa.
Menurutnya, laporan berkenaan dibuat susulan penularan rakaman video yang memaparkan Albert menyampaikan ucapan dalam sebuah program ceramah politik yang dipercayai dianjurkan PN.


![[VIDEO] Noor Helmy muncul sebagai superhero Duyong](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/incollage_save-3-1024x584.jpeg)



