
MELAKA: Maklum balas positif diterima daripada pengundi berusia 40 tahun ke atas sepanjang berkempen memberi keyakinan kepada calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Farzana Hayani Mohd. Nasir menjelang hari pengundian, esok.
Katanya, ia hasil gerak kerja berterusan termasuk aktiviti ziarah kasih yang dilakukan terhadap warga emas, pesakit terlantar dan ibu tunggal.
Menurutnya, kempen sudah meliputi kira-kira 70 peratus DUN Kelebang manakala keseluruhan gerak kerja mendekati pengundi yang dilakukan sebelum penamaan calon mencapai hampir 90 peratus.
“Alhamdulillah, reaksi yang Nana terima sangat positif. Nana bukan sahaja bergerak ketika tempoh kempen, malah selepas tewas di DUN Sungai Rambai pada pilihan raya lalu, Nana terus bergerak di DUN Kelebang.
“Melalui Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Tangga Batu, Nana juga sudah memasuki keempat-empat DUN dalam Parlimen Tangga Batu dengan Kelebang menjadi antara kawasan yang diberikan perhatian,” katanya ketika ditemui di Medan Selera Perindustrian Bukit Rambai di sini semalam.
Farzana Hayani berkata, pengalaman mendekati masyarakat sebelum kempen bermula membolehkannya mengenal pasti pelbagai isu setempat, selain mencari penyelesaian terhadap masalah yang dibangkitkan penduduk.
“Alhamdulillah, penerimaan golongan berusia 40 tahun ke atas juga sangat positif. Mereka tidak melihat Nana sebagai anak muda yang tidak boleh melakukan apa-apa, sebaliknya melihat kesungguhan untuk membantu menyelesaikan masalah mereka,” ujarnya.
Mengulas persaingan di Kelebang, beliau mengakui berdepan cabaran apabila berdepan pertandingan empat penjuru.
Katanya, perhatian turut diberikan kepada pengundi muda yang membentuk lebih 40 peratus daripada kira-kira 27,000 pengundi di kawasan berkenaan.
“Pengundi muda ini kebanyakannya berada di saluran lima, enam dan tujuh. Ada yang pertama kali mengundi, selain mereka yang sudah mempunyai pengalaman mengundi sebelum ini.
“Jadi, kita cuba mendekati mereka melalui pelbagai pendekatan termasuk program Kopilih Harapan yang menyediakan ruang untuk bersembang dan berdialog secara santai,” katanya. – UTUSAN
The post Farzana Hayani tidak hanya tumpu pengundi muda appeared first on Utusan Malaysia.






