
PILIHAN raya di beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia dan Korea Selatan semakin memperlihatkan kepentingan Generasi Z (Gen Z) dalam menentukan hala tuju politik.
Kelompok yang lahir sekitar 1997 hingga 2012 ini bukan lagi sekadar pengundi baharu, malah berpotensi menjadi penentu kemenangan sesebuah parti.
Persoalannya, apakah yang membentuk pilihan mereka, adakah ideologi, manifesto, personaliti pemimpin atau kandungan digital yang disusun algoritma?
Persoalan ini penting untuk difahami, khususnya ketika Malaysia berusaha memperkukuh pendidikan kenegaraan seiring perubahan politik dan geopolitik semasa.
Gen Z dikenali sebagai generasi celik digital kerana membesar dalam persekitaran teknologi dan media sosial. Berbanding generasi terdahulu, mereka lebih pantas mendapatkan maklumat daripada platform digital serta membentuk pandangan melalui interaksi dalam talian.
Pelbagai kajian menggambarkan kelompok ini sebagai generasi yang aktif, berorientasikan matlamat, celik teknologi dan mempunyai kesedaran terhadap isu sosial. Mereka turut menghargai ketelusan serta ketulenan, selain cenderung menilai sesuatu berdasarkan isu berbanding kesetiaan kepada parti tertentu.
Kajian di beberapa negara menunjukkan pengundi muda semakin mengutamakan isu substantif berbanding lambang politik. Kekecewaan terhadap skandal, rasuah dan prestasi parti turut mendorong mereka mengambil sikap lebih kritikal.
Sokongan politik dalam kalangan Gen Z banyak dipengaruhi keupayaan sesebuah parti menawarkan penyelesaian terhadap masalah yang dekat dengan kehidupan mereka, termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan dan perubahan iklim.
Pada masa sama, media sosial bukan lagi sekadar saluran mendapatkan berita, malah turut membentuk cara pengguna melihat isu politik. TikTok, Instagram, YouTube dan X menyediakan kandungan yang pantas, visual serta mudah dikongsi, menjadikannya semakin berpengaruh dalam mencorakkan persepsi golongan muda.
Namun, kelebihan itu hadir bersama risiko seperti gelembung pandangan, maklumat salah, berita palsu dan kecenderungan mengesahkan kepercayaan sendiri.
Algoritma boleh menyebabkan seseorang terus menerima kandungan yang selari dengan pandangan sendiri sehingga perspektif berbeza semakin sukar diterima. Walaupun begitu, media sosial bukan penentu tunggal kerana latar belakang keluarga, pendidikan dan persekitaran sosial turut membentuk pendirian politik.
Dalam menilai calon, pengundi muda menghargai integriti, keprihatinan dan kemampuan berkomunikasi. Namun, kompetensi, pengalaman serta latar belakang pendidikan tetap menjadi pertimbangan utama.
Imej dan karisma mungkin menarik perhatian, tetapi rekod prestasi serta pendirian terhadap isu menjadi asas yang lebih kukuh dalam membuat pilihan.
Keadaan ini menunjukkan parti politik tidak boleh bergantung semata-mata pada populariti pemimpin atau strategi media sosial. Sokongan perlu dibina melalui dasar yang jelas, penyelesaian yang munasabah serta prestasi yang boleh dinilai.
Gen Z juga sering dianggap sebagai pengundi yang mudah berubah, namun pandangan itu terlalu mudah. Mereka boleh memberikan sokongan apabila sesebuah parti berjaya memenuhi jangkaan terhadap isu tertentu.
Sokongan tersebut bagaimanapun tidak semestinya kekal kerana prestasi kerajaan, keadaan ekonomi, pengalaman hidup serta tahap kepercayaan terhadap maklumat boleh mengubah pendirian mereka. Kesetiaan politik generasi ini lebih bersifat bersyarat.
Dalam konteks Malaysia, cabaran utama bukan kekurangan maklumat tetapi lambakan kandungan yang sukar dibezakan antara fakta, pendapat dan propaganda. Budaya tular serta politik identiti boleh mempengaruhi emosi jika tidak disertai keupayaan menilai sumber secara kritis.
Atas sebab itu, pendidikan kenegaraan perlu diperkukuh sebagai asas kepada demokrasi matang. Pendidikan ini bukan untuk mengarahkan generasi muda menyokong mana-mana parti, tetapi membolehkan mereka memahami Perlembagaan, sistem demokrasi, hak dan tanggungjawab sebagai rakyat serta menilai maklumat berdasarkan bukti.
Institusi pendidikan perlu memperkukuh literasi media dan perbahasan dasar, manakala keluarga wajar membuka ruang kepada perbincangan politik yang matang. Parti politik pula perlu menawarkan dasar yang jelas, sementara media memperluas amalan semakan fakta dan kewartawanan beretika.
Akhirnya, kekuatan demokrasi bukan hanya bergantung kepada jumlah pengundi yang keluar mengundi, tetapi sejauh mana mereka mampu membuat pilihan secara rasional. Gen Z mempunyai potensi besar membentuk masa depan Malaysia. Yang diperlukan ialah ilmu, kematangan dan keberanian untuk menilai sebelum memilih. –UTUSAN
DR. MASDINI HARINA AB. MANAN
Pensyarah dan Penyelidik (Pengurusan Pendidikan & Kepimpinan),
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
The post Algoritma membentuk undi Gen Z appeared first on Utusan Malaysia.



