“Alhamdulillah Guru selamat tiba di New Delhi, India untuk membawa nama negara di pentas dunia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18.”
Demikian perkongsian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Facebook selepas beliau selamat tiba di New Delhi petang ini bagi memulakan misi diplomasi negara di pentas antarabangsa.
Anwar berkata, misi berkenaan diharap mencapai matlamatnya selain menjadi ruang untuk anak didik mempelajari bagaimana Diplomasi MADANI diterjemahkan dalam hubungan antarabangsa.
Ketibaan Perdana Menteri di ibu negara India itu sekali gus memulakan lawatan yang padat dengan siri pertemuan bersama pemimpin dunia, tokoh perniagaan terkemuka serta rakan pemimpin BRICS.

Pesawat khas membawa Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mendarat di Stesen Tentera Udara Palam kira-kira jam 6.30 petang waktu tempatan dalam suasana kawalan keselamatan ketat menjelang Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18.
Ketibaan beliau disambut Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Dr Ahmad Faizal Muhamad; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Dr Mohd Shaharin Umar; Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke India, Sharifah Ezneeda Wafa dan Atase Pertahanan, Kolonel Dr Nizlan Mohammed.
Turut menyambut Anwar ialah Menteri Hal Ehwal Luar merangkap Menteri Alam Sekitar, Hutan dan Perubahan Iklim India yang juga Menteri Pengiring, Kirti Vardhan Singh; Setiausaha Tambahan Kementerian Hal Ehwal Luar, Prashant Agrawal serta Komodor Udara AFS VSM, Rishabh Mittal.
Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak itu adalah atas kapasiti negara sebagai Negara Rakan BRICS sejak 1 Januari 2025, dengan lawatan berkenaan antara lain bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi dan strategik dengan negara-negara ekonomi pesat membangun.
Beberapa jam selepas tiba, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Esok, beliau dijadual bertemu Perdana Menteri India, Narendra Modi di Hyderabad House selain mengadakan pertemuan dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian; Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev dan Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed di luar sidang kemuncak berkenaan.
Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan dengan beberapa tokoh utama industri serta menghadiri jamuan makan malam gala untuk pemimpin negara anggota, negara rakan kongsi dan negara jemputan BRICS di Bharat Mandapam.

Sidang kemuncak yang dihoskan Modi itu membawa tema “Membina Ketahanan, Inovasi, Kerjasama dan Kemampanan”, dengan tumpuan kepada pengukuhan daya tahan, kerjasama ekonomi serta pembaharuan perdagangan dan pelaburan.
Pada Ahad, Anwar akan menghadiri sesi pembukaan Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 dan menyampaikan Kenyataan Negara bertajuk “Membentuk Masa Depan ke arah Pertumbuhan Global yang Inklusif”.
Malaysia dijangka menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara negara anggota dan negara rakan BRICS dalam menangani cabaran pembangunan, memperluas peluang ekonomi serta memastikan manfaat kemajuan teknologi dan inovasi dapat dinikmati secara lebih inklusif oleh semua negara.
Selepas selesai agenda di New Delhi, Anwar akan meneruskan lawatan kerja ke Keralam, nama rasmi baharu bagi Kerala, sebuah negeri di Pantai Malabar, selatan India.
Di Keralam, beliau dijadual bertemu Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad bagi bertukar pandangan mengenai pembangunan masyarakat, pemerkasaan pendidikan serta kesefahaman dan keharmonian interaktif keagamaan.
Anwar turut dijadual bertemu Ketua Menteri Keralam, Thiru V D Satheesan dan Gabenor Keralam, Thiru Rajendra Vishwanath Arlekar bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam sektor perdagangan dan pelaburan, pelancongan, penjagaan kesihatan serta pendidikan.

Hubungan diplomatik moden antara Putrajaya dan New Delhi terjalin pada 1957, tidak lama selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, dengan India kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan.
Jumlah perdagangan dua hala kedua-dua negara mencecah AS$18.55 bilion (RM79.33 bilion) pada 2025.
Lawatan kerja Anwar itu dijangka terus memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) antara Malaysia dan India, selain membuka peluang baharu untuk memperluas kerjasama berimpak tinggi khususnya dalam sektor ekonomi, perdagangan dan pelaburan, teknologi digital serta pendidikan.
Sumber: Threads Anwar Ibrahim





