
NEW DELHI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 yang dihoskan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Pesawat khas yang membawa Anwar dan delegasi mendarat di Pangkalan Tentera Udara Palam di sini pada pukul 6.30 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).
Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Pelbagai Hala) Kementerian Luar, Datuk Dr. Ahmad Faisal Muhamad, Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke India Sharifah Ezneeda Wafa, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Dr .Mohd. Shaharin Umar dan Atase Pertahanan Kolonel Dr. Nizlan Mohamed.
Turut menyambut Perdana Menteri ialah Menteri Hal Ehwal Luar merangkap Menteri Alam Sekitar, Hutan dan Perubahan Iklim (Menteri Pengiring) Kirti Vardhan Singh, Setiausaha Tambahan Kementerian Hal Ehwal Luar Prashant Agrawal dan Komodor Udara AFS VSM Rishabh Mittal.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.
Sidang kemuncak itu, yang akan dihoskan oleh Modi, membawa tema ‘Membina Ketahanan, Inovasi, Kerjasama dan Kemampanan’ dengan tumpuan kepada pengukuhan daya tahan, kerjasama ekonomi serta pembaharuan perdagangan dan pelaburan.
Sebagai ahli pengasas BRICS, India sebelum ini memegang jawatan Pengerusi sebanyak tiga kali, iaitu pada 2012, 2016 dan 2021. India mengambil alih sebagai Pengerusi BRICS keempat pada 1 Januari 2026.
Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di New Delhi adalah atas kapasitinya sebagai Negara Rakan BRICS sejak 1 Januari 2025.
Beberapa jam selepas tiba di ibu negara India, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.
Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Modi di Hyderabad House, Rumah Tetamu Negara Perdana Menteri India, selain Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev dan Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed di luar sidang kemuncak berkenaan esok.
Pada Ahad, Perdana Menteri akan menghadiri pembukaan Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 dan menyampaikan Kenyataan Negara bertajuk “Membentuk Masa Depan ke arah Pertumbuhan Global yang Inklusif”.
Malaysia akan menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara negara anggota dan negara rakan BRICS dalam menangani cabaran pembangunan, memperluas peluang ekonomi serta memastikan manfaat kemajuan teknologi dan inovasi dapat dinikmati secara lebih inklusif oleh semua negara.
Perdana Menteri akan berlepas ke Maldives pada 14 September ini. – BERNAMA
The post Anwar tiba di New Delhi, hadiri sidang kemuncak BRICS appeared first on Kosmo Online.



