“Alhamdulillah, Seorang Sahabat Alif Dah Dijumpai” — Thaqif Rayyan Ditemui, Dua Lagi Masih Hilang Dalam Tragedi Pantai Tanjung Lompat

3 Sep 2026 • 6:21 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: “Alhamdulillah, Seorang Sahabat Alif Dah Dijumpai” — Thaqif Rayyan Ditemui, Dua Lagi Masih Hilang Dalam Tragedi Pantai Tanjung Lompat

KOTA TINGGI – Perkembangan terbaru tragedi lemas di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar menyaksikan seorang lagi mangsa berjaya ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan sejak kejadian berlaku.

Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, yang sebelum ini dilaporkan hilang bersama tiga rakannya, ditemukan pada pukul 1.53 petang tadi kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian.

Menurut laporan, mangsa ditemukan dalam keadaan terapung berhampiran kawasan mangsa pertama ditemui sebelum jasadnya dibawa ke darat untuk proses pengecaman oleh waris dan tindakan lanjut.

Guru Kongsi Kesedihan Kehilangan Anak Murid

Di media sosial, seorang guru kepada mangsa meluahkan kesedihan selepas kehilangan anak murid kesayangannya yang pergi terlebih dahulu menghadap Ilahi.

“Titik terendah aku sebagai cikgu bila anak murid kesayangan pergi dahulu menghadap Ilahi,” tulisnya sambil mengucapkan terima kasih kepada arwah yang dikatakan sering membantunya.

Dalam satu kemas kini terbaru, individu berkenaan turut memaklumkan bahawa seorang sahabat kepada mangsa pertama, Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, telah ditemui.

“Alhamdulillah. Seorang sahabat Alif, Muhammad Thaqif Rayyan dah dijumpai,” tulisnya.

Namun dalam masa sama, beliau memohon orang ramai terus mendoakan dua lagi remaja yang masih belum ditemui.

Perkongsian tersebut dikongsikan oleh guru berkenaan menerusi akaun Threads @alancelot_.

Doa Terus Mengiringi Usaha Mencari Haiman Dan Adib

Setakat perkembangan terkini, operasi SAR masih diteruskan bagi mengesan dua lagi mangsa iaitu Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal.

Tragedi ini berlaku selepas sekumpulan remaja datang berkhemah di kawasan berkenaan sebelum enam daripada mereka dilaporkan menghadapi masalah ketika mandi-manda di laut. Dua berjaya diselamatkan orang awam, manakala empat dilaporkan hilang sebelum dua daripada mereka kini berjaya ditemukan.

Di ruangan media sosial, ramai terus menitipkan doa buat keluarga semua mangsa, khususnya agar usaha mencari Haiman dan Adib dipermudahkan.

Semoga kedua-duanya segera ditemui dan keluarga yang sedang menanti terus diberikan kekuatan menghadapi ujian berat ini.

Sebelum ini, tujuh pelajar tahfiz turut hadir di lokasi kejadian untuk melaungkan azan, menunaikan solat hajat dan berdoa agar usaha pencarian dipermudahkan serta mangsa yang masih hilang segera ditemui. – The Malaysian Update

The post “Alhamdulillah, Seorang Sahabat Alif Dah Dijumpai” — Thaqif Rayyan Ditemui, Dua Lagi Masih Hilang Dalam Tragedi Pantai Tanjung Lompat appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved