
Dua remaja yang terselamat dalam insiden lemas di Pantai Tanjung Lompat masih dirawat di Hospital Kota Tinggi dan diberikan sokongan psikologi.
KOTA TINGGI: Dua remaja yang terselamat dalam insiden lemas di Pantai Tanjung Lompat, di sini masih dirawat di Hospital Kota Tinggi, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Dr Muhammad Naqib Md Ghazali.
Beliau berkata kedua-duanya yang berusia 16 tahun hanya mengalami luka kecil dan menerima rawatan biasa.
Dr Muhammad Naqib berkata kedua-duanya mengalami trauma, justeru kerajaan negeri akan memastikan sokongan psikologi serta kaunseling diberikan kepada mereka dan ahli keluarga.
“Bantuan ini saya minta diberikan juga kepada pihak keluarga kerana apabila berlaku kehilangan (ahli keluarga), kita faham keadaan emosi terganggu, selain penat menunggu dan sebagainya, jadi (sokongan itu) perlu diberikan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.
Beliau berharap agar seluruh ahli keluarga terlibat tabah menghadapi ujian selain pada masa sama menasihati ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak ketika musim cuti persekolahan ini.
Setakat ini, dua mangsa tragedi itu ditemukan lemas iaitu Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor dan Alif Taqiuddin Kamal Hasrul manakala dua lagi iaitu Muhammad Adib Hafiy Kamal dan Mohamad Haiman Fitri Supian masih hilang.
Dua yang lain, Mohamad Faqrul Isqandar Abdullah dan Muhammad Afiq Ruzaini Mazlan diselamatkan orang awam.
Pihak bomba memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada 8.19 pagi semalam berhubung kejadian itu, dengan kesemua enam mangsa berusia 16 tahun itu merupakan sebahagian daripada kumpulan 15 orang yang datang berkhemah di kawasan berkenaan sejak dua hari lepas.






